02 September 2006

Paloh

Seorang Bintang Tiga memerhatikan gelagat Pak Arifin dan kawan-kawannya sedang bermain gambus di atas pangkin tempat mereka selalu sembahyang dan berehat-rehat. Nampak sekali dia tersenyum, mungkin hatinya terhibur.

Sebagai mana Bintang Tiga itu terpikat dengan, mainan gambus Arifin Nur, begitulah juga hati saya terpikat dengan filem Paloh arahan Adman Salleh. Walaupun kualiti bunyi, kesan khas dan sinematografinya ada sedikit kelemahan. Namun kekuatan lakonan dan skripnya, dibantu pula dengan plot (jalan cerita) yang berterabur – narator dan naratif bagai menghendakkan para penonton menyusunnya -- menenggelamkan segala kelemahan filem tersebut. Hingga menyebabkan saya menontonnya berulang-ulang kali.

Ramai yang saya tanya mengatakan susah untuk memahami filem ini jika cuma sekali tonton. Saya juga mengaku hal tersebut. Kali kedua saya tonton, barulah faham sedikit plotnya. Plotnya mungkin berterabur tetapi ianya unik sekali, memandangkan jarang filem tempatan yang berbuat demikian.

Filem ini juga adalah filem tempatan pertama yang saya perhatikan berani untuk mengajak kita berfikir semula tentang komunis sebagai pejuang kemerdekaan, melawan penjajah tak kira Jepun ataupun Inggeris. Teliti dialog berikut, dialog yang diucapkan Ariffin Nur kepada anaknya Fatimah. "Mati Puteh, sia-sia sahaja. Lebih baik mati sebagai komunis. Paling tidak komunis mati mempertahankan hak kita."

Dan ia merupakan, satu-satunya juga filem yang menunjukkan perjuangan bekas-bekas pejuang dalam Kesatuan Melayu Muda yang mahu berpakat dengan komunis. Mungkin kita tidak didedahkan sangat dengan perjuangan meeka. Atau mungkin kita terlalu terdedah dengan perjuangan UMNO yang juga berapi-api menuntut kemerdekaan.

Dialog-dialog di dalamnya pun penuh berisi dan ini saya perhatikan kurang terdapat dalam filem-filem tempatan. Filem luar, terutamanya filem dari Hollywood, Iran, Perancis, Korea, Thailand dan Indonesia banyak berbincang tentang isu semasa, pertikaian ideologi, sejarah dan ilmu pengetahuan am. Filem-filem mereka juga bukan setakat untuk tujuan hiburan, malahan kadangkala punya mesej tersirat.

Di sebalik suasana perang (perebutan kuasa antara Inggeris-Jepun) dalam filem ini, survival rakyat yang tersepit di celah-celah gajah yang bergaduh, diperlihatkan dengan tegas. Bagaimana mereka yang bersifat tidak radikal telah mengambil keputusan untuk tidak mencampuri keradikalan mereka-mereka yang radikal. Tindakan Ahmad, Puteh, Harun dan rakan-rakan mereka dalam pasukan polis Jepun dapat dilihat untuk melepaskan diri dari keganasan perang. Mungkin cara mereka bagi sesetengah pihak adalah seperti pengkhianat, namun itu terpaksa mereka lakukan demi kerana masa depan mereka dan orang-orang yang mereka sayang. Pak Arifin Nur cukup bencikan watak serupa ini.

Selain itu, terselit juga kisah cinta antara dua bangsa - Ahmad yang Melayu becinta dengan Siew Lan yang Cina. Siew Lan yang pada mulanya hanya mencintai Ahmad atas dasar hendak membantu keluarga, akhirnya mencintai Ahmad dengan sepenuh hati – sehinggakan dia menyimpan gambar-gambar bersama Ahmad dan akhirnya disuruh koyak oleh ketua wilayah PKM ketika itu. Percintaan mereka seperti mahu menggambarkan jambatan keakraban yang patut dibina kukuh antara kaum Melayu dan Cina di negara ini. Dan gambaran ini jela sekali dengan terwujudnya watak Usman yang peranakan Cina dan Melayu.

Dengar semula dialog yang diucapkan Ah Meng kepada Ahmad, "Sebelum Jepun datang ke sini, olang Melayu sama olang Cina ada gaduh? Tak pernah." Memang selalunya orang luar terutamanya penjajah, gemar memecah belahkan kesatuan dalam negara yang mahu dijajahnya. Dan bertitik tolak dari situ, dasar pecah dan perintah Inggeris sampai ke hari ini telah membawa perpecahan secara tidak nampak atau terpendam antara kaum Melayu dan Cina.

Tabik saya pada Adman Salleh dan Filem Negara kerana berjaya menghasilkan filem tempatan yang bemutu. Dan tabik saya juga pada perjuangan Arifin Nur dan rakan-rakan mereka di hutan. Mainan gambusnya tidak sumbang, malahan menjadi semangat kepada pejuang-pejuang kemerdekaan untuk terus berjuang demi agama, bangsa dan tanah air. Rentak zapinnya juga berseni ibarat rentak juangnya yang terus bersemangat mahu memerdekakan diri dan negara.

p/s - pernah tersiar di Akhbar Mahasiswa, sekitar tahun 2003. Sekarang, dengan edisi yang telah ditambah dan dikurang. Juga tajuk yang telah dipinda. Harap maklum.

1 comment:

BigData@Bluesify said...

hamba pun menyukai cerita paloh..sebab sebagai pahlawan..mmg hamba benci penjajah...

SALAM MERDEKA...