29 June 2007

Najib dilihat bersama Altantuya

Soon Li Tsin
Jun 29, 07

Seorang saksi rakyat Mongolia memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bahawa dia pernah melihat gambar Altantuya Shaariibuu sedang makan bersama dengan seorang pegawai kerajaan Malaysia bernama Najib Razak.

Burmaa Oyunchimeg (left), yang juga dikenali sebagai Amy, memberitahu mahkamah bahawa Altantuya telah menunjukkan kepadanya gambar tersebut sekembalinya dari Perancis.

Dipercayai pegawai kerajaan Malaysia dalam gambar tersebut adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mempunyai hubungan rapat dengan Abdul Razak Baginda. Abdul Razak kini menghadapi tuduhan bersubahat membunuh Altantuya, 28.

Burmaa, 26, menyebut mengenai gambar itu ketika disoalsiasat oleh Timbalan Pendakwaraya, Manoj Kurup. Bagaimanapun, apabila dia menyebut mengenai gambar yang menunjukkan Altantuya sedang makan dengan Razak dan seorang ‘pegawai kerajaan’, pihak pendakwa beralih kepada soalan lain.

Kira-kira 20 minit kemudian, Karpal Singh, yang menjadi peguam pemerhati bagi pihak keluarga Altantuya, memohon kebenaran mahkamah untuk bertanya mengenai gambar tersebut.

'Sama nama'

Ia dibantah oleh pihak pendakwa dan berlaku pertikaman lidah berhubung sama ada soalan itu relevan atau tidak. Bagaimanapun, Hakim Datuk Mohd Zaki Mohd Yusni membenarkan permohonan Karpal itu.

Karpal kemudiannya bertanya kepada Burmaa apakah yang terdapat dalam gambar tersebut. “Dia (Altantuya) sedang makan bersama Razak (Baginda), seorang pegawai kerajaan Malaysia dan orang lain,” jawabnya.

Karpal kemudian bertanya mengenai identiti pegawai kerajan itu dan Burmaa menjawab: “Saya ingat namnya Najib Razak, nama mereka sama. Saya bertanya kepadanya (Altantuya) sama ada mereka bersaudara.”

Ini mencetuskan satu lagi pertikaman lidah antara Karpal dengan pihak pendakwa. Menurut pihak pendakwa, Abdul Razak dan Altantuya bertemu pada 2004 dan menjalinkan hubungan, ketika mana Razak memberi wang kepadanya. Selepas mereka berpisah setahun kemudiannya, Razak dikatakan terus memberi wang setiapkali diminta oleh Altantuya. Tetapi tiada lagi pembayaran dibuat tahun lalu, menyebabkan Altantuya tidak puashati dan datang ke Malaysia pada bulan Oktober lalu, kata pihak pendakwa.

Mayat Altantuya kemudiannya ditemui diletupkan di sebuah kawasan di Shah Alam, selepas dia dibawa pergi dari luar kawasan rumah Abdul Razak pada pertengahan Oktober lalu.

Di kandang tertuduh ialah Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, dari Unit Tindakan Khas Bukit Aman yang didakwa membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara lot 12843 dan lot 16735, Mukim Bukit Raja di sini antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Abdul Razak, 46, pula didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar dalam melakukan pembunuhan itu.

Jika sabit kesalahan, ketiga-tiga mereka boleh dihukum mati. -- malaysiakini

19 June 2007

Blog dan masa depan negara

7 tahun sudah aku mula kenal blog (walau pada mulanya ia tak dipanggil blog; cuma aku dan kawan aku panggil weblog atau log sahaja). Semuanya terima kasih kepada Mat Jan yang memperkenalkan aku dengan dunia pe'weblog'an.

Ingat lagi dulu waktu mula-mula buat 'gathering (berhimpun)' secara tak rasmi. Waktu itu kami 'berhimpun' tak ramai -- aku, Mat Jan, Lan, Zairi, Nett, Ijah, Aquil, Zira, P-nut, Peaquor, Rudy, Fajar dan Fuad.

Selepas 7 tahun, kini penulis blog sudah mencapai angka beribu-ribu orang -- dengan terwujudnya dua fraksi utama; Geng Jurnal (GEJU) dan Bloggers United (yang aku ketahui, aku percaya ada satu dua lagi fraksi yang tak dikenali ramai).

Kita harus akui perkembangan pesat blog.

Baru-baru ini seorang timbalan menteri mendesak supaya semua penulis-penulis blog mendaftar nama mereka. Tidakan ini dilihat oleh sesetengah pihak sebagai cara kerajaan mengawal rakyat negara ini -- dengan alasan bahawa takut jika penulis-penulis blog, ada yang menyalah gunakan ruang untuk mereka menulis.

Lagi, Menteri Penerangan Datuk ZAM menyarankan kepada Malaysia bahawa blog harus diklasifikasikan; yang mana blog elok dan yang mana blog yang suka menyebarkan fitnah.Mungkin pihak pemerintah menyangkakan mereka mungkin dapat mengawasi kesemua gerak geri rakyat; sehinggakan di ruang maya ini -- kata seorang ahli politik pembangkang -- mereka mahu mengawasi rakyat.

Dalam artikel yang bertajuk "[k]erajaan tewas dalam 'perang siber'?" tersiar di mStar pada 3 Ogos 2006, pemilik blog ScreenShots Jeff Ooi dan pengendali Malaysia-today, Raja Petra berkata kepada penulis artikel tersebut, "[b]erbeza dengan laman-laman web pro-Reformasi yang tidak dikenali, blog sekarang ditulis oleh beberapa penulis yang dikenali ramai, kalaupun tidak berpengaruh. Teknologi untuk membangunkan blog kini jauh lebih mudah berbanding laman-laman web Reformasi."

Nampaknya masa depan negara kini, terletak pada blog dan melihat kepada perkembangan blog kini aku yakin bahawa pemerintah masa akan datang perlulah kuasai blog untuk terus berkuasa.