Aku mencampakkan seketul batu ke atas aliran sungai di hadapanku. Kawasan aliran air sungai yang terkena campakan batu itu, berkocak. Aku yakin balingan itu berjaya melarikan seekor dua ikan yang berada di situ. Tak kiralah ikan apa.
Bersama kocakan kecil aliran air sungai itu juga, fikiran aku turut berkocak. Aku tersedar dari lamunan panjang. Mengenangkan masa hadapan. Mengenagkan masa silam. Dan mengenangkan masa kini.
Aku terus membaling batu ke arah aliran sungai itu. Dan sekali lagi kawasan aliran sungai tempat balingan aku, terpecik. Berkocak. Sekali lagi lari seekor dua ikan mungkin ke arah bawah jeti.
Pandanganku mula teralih ke arah jeti. Atau penambang. Penambang yang telah mula usang. Tetapi masih tidak boleh menandingi usia usang perkhidmatan bot, merentasi sungai itu. Sejak terbinanya jambatan Sultan Abdul Jalil itu, perkhidmatan bot sudah mula tidak laku lagi. Kalau selalunya pada hari-hari biasa bot mengangkut jumlah penumpang yang ramai, kini tidak lagi. Jumlah penumpang kini, boleh dikira dengan jari [err, termasuk jari kaki" -- Mat Jan, Jongkang-jongket].
Sesudah puas memandang jeti. Pandanganku kini teralih melihat ke seberang. Sekumpulan kanak-kanak sedang sebok bermandi-manda, terjun, berenang dan menyelam. Sesekali mereka yang menyelan akan menyembulkan kepala mengambil nafas barang sesedut dua. Ada di antara kanak itu yang mengenakan seluar pendek sahaja. Dan ada juga tidak memakai apa-apa pun. Berbogel!
Sedang aku sebok memerhatikan kumpulan kanak-kanak itu, fikiranku melayang, melewati ke daerah yang sudah lama aku tidak kunjungi. Aku masih ingat lagi pada waktu itu. Ilmu adalah seperti makanan harian. Bukan sekadar maklumat. Bagaikan dadah, kepentingan ilmu ditagih. Ruangan untuk diskusi diperbesarkan. Hidup bagi aku amat berguna ketika itu.
Kini semua itu sudah tiada lagi. Ruangan diskusi semakin kecil. Cuma kewujudan alam siber mengurangkan sedikit pengecilan ruang diskusi itu. Kewujudan alam siber juga bagi aku amat bermakna, kerana di situ ada maklumat. Ilmu.
Nyata, aku harus bersyukur dengan nikmat tuhan yang itu.
No comments:
Post a Comment