10 October 2005

Selamat berpuasa dunia…

GGPP

Penulis tidak kisahkan sama ada filem ini menyindir mana pihak atau tidak. Yang penulis kisahkan ialah cara lakonan Linda Nanuwil dan Nora Danish. Kepala hotak penulis rungsing memikirkan lakonan keras lagi kaku Linda dan gerak yang sudah boleh dijangka oleh Nora Danish.

Garapan Aziz M. Osman kepada filem ini kurang berkesan jika mahu dibandingkan dengan garapannya di dalam GGPR. Di dalam GGPR penulis boleh saksikan dengan jelas tentang perkara yang hndak disampaikan.

Plot yang bercelaru – bukan non linear yang disengajakan -- dan lawak yang kurang menjadi oleh Saiful Apek dan bapa Fatimah yang pekak jelas merencatkan apa yang mahu disampaikan oleh Aziz M. Osman. Tetapi peran yang dilakonkan oleh Afdlin Shauki (Awin) berjaya menyelamatkan filem ini sedikit sebanyak.

Peran sebagai bekas penyanyi rock dan setia bersama gitarnya – hinggalah ke adegan Sheera (Erra Fazira) mahu dirogol atau disamun, ketika itu tampil Awin mahu menyelamatkan Sheera dan dia menggunakan gitarnya – membawa pendengaran penulis kepada soundtrack-soundtrack yang pasti akan memastikan penulis berjaga sehingga habis filem.

Mainan gitar Awin yang bersahaja diselang seli dengan lagu-lagu seperti dari SweetCharity dan sebuah lagu yang penulis pernah dengar di dalam soundtrack filem arahan Quentin Tarantino, Kill Bill (Volume 2).

Penulis benar-benar kecewa dengan Aziz M. Osman. Penulis mengharapkan sesuatu yang lebih daripada GGPR. Tetapi kelahiran GGPP benar-benar mengecewakan penulis.

Benar filem berkenaan menyindir sesetengah pihak. Malangnya Aziz M. Osman tidak dapat menyampaikannya secara berkesan. Mungkin GGPP memerlukan narator yang duduk di dalam satu lapis naratifnya.

Melihat daripada naratifnya yang biasa, sindiran berjaya tetapi bagi penulis tidak begitu menikam – sindiran tidak bersungguh-sungguh, main-main pun main, lakonan yang kadang kala overacting dan boleh di duga dan satu dua lawak Saiful Apek yang sudah biasa kita tonton menjadikan filem ini hanya filem yang memuaskan di mata penulis – kadang kala membosankan.

Overall – kalau mahu ditanya berapa bintang yang penulis akan bagi -- ** ½ terutama untuk kesungguhan Aziz M. Osman, tetapi malangnya kesungguhan itu tidak menampakkan suatu usaha yang maksimum dari pengarahnya.

Tidak seperti GGPR, GGPP jelas jauh mengecewakan – ramalan penulis tidak tepat!