11 October 2005

Gol & gincu

Seorang pengarah teater muda pernah berkata kepada penulis. Katanya, “kelakuan pelakon yang kita boleh agak atau lain-lain (plot, teknik kamera atau skrip), akan menyebabkan sesebuah filem itu menjadi kurang menarik.”

Pengarah muda itu juga berkata bahawa pada setiap 15 minit—paling kurang--mestilah mempunyai kejutan.

Gol & gincu mempunyai plot yang boleh dijangka tetapi pengarahnya berjaya membuat kejutan – lebih kurang – pada setiap 15 minit. Juga Bernard Chauly – selain berjaya membuat kejutan pada setiap 15 minit – berjaya menampilkan sebuah filem yang tidak konvesional di segi teknik pembuatan filem dan berani membuat eksperimen terhadap skrip – skenario – filem berkenaan.

Ya, cerita ini mungkin cabon copy filem Bend It Like Becham. Cuma filem ini menampilkan naratif yang berpandukan permainan futsal, manakala Bend It Like Beckham dipandu oleh sekitar permainan bolasepak.

Ada yang mengatakan filem ini adalah berdasarkan filem Legally Blonde, di campur pula dengan filem Mighty Duck (dan sewaktu dengannya). Kata-kata ini boleh diterima, kerana filem Gol & Gincu mempunyai elemen-elemen filem yang penulis sebutkan tadi.

Isu sumbang mahram di bangkit di dalam filem ini. Penulis rasa seperti melihat Bend It Like Becham kerana isu itu. Dalam Bend It Like Beckham seorang saudara – maafkan penulis, lupa, pak cik saudaranya mungkin – pernah melakukan sumbang mahram terhadap seorang kanak-kanak. Di dalam Gol & Gincu, Uncle Izam (Zahim al Bakri) melakukan sumbang mahram dengan Jijie (Sharifah Amani) dan ingin melakukannya terhadap Emi.

Satu lagi adegan yang mengingatkan penulis dengan filem Bend It Like Beckham, ialah ketika montaj berlatar belakangkan sebuah lagu tentang hubungan yang intim antara Zie dan Shasha. Nampaknya isu percintaan seseama jenis pula mahu diangkat di sini. Penulis teringatkan Bend It Like Beckham adegan pebualan, antara watak utama perempuan (maaf, terlupa akan namanya) dengan seorang sahabat (atau saudaranya?) lelaki. Sahabatnya itu menaruh hati kepada sahabat lelakinya yang lain.

Mereka yang berada dibelakang filem ini sememangnya kita tahu kuat memperjuangkan ‘girl power’—Marina Mahathir, Bernard Chauly, Rafidah, Celina dan Tini. Maka tidak hairanlah filem ini turut juga memperjuangkan hak kaum perempuan.

Ingin penulis petikkan, daripada seorang sahabat penulis – turut mempunyai blog (lama sebelum penulis lagi) – Mad Jan. Beliau berkata,“yang paling aku suka, Gol & Gincu memberi definisi baru pada kalimah "cool". Watak hero tidak digambarkan macam watak hero Yusof Haslam.

“Watak Reza… digambarkan dengan hobi suka membaca. … Masa Reza balik rumah, bilik dia digambarkan penuh buku.

“Dan oh ya, Reza naik basikal. Bukan motor besar ya. Basikal.

“Untuk jadi hero yang cool, tidak perlu suka pergi disko dan naik motor besar macam hero Yusof Haslam. Suka baca buku dan naik basikal pun boleh cool juga.

“Kita selalu bising anak remaja mudah terpengaruh dengan filem. So, kita patut buat filem yang menggambarkan "suka membaca" sebagai cool. Suka bersukan (futsal) pun cool. Kalau anak remaja mudah terpengaruh dengan filem, then Gol & Gincu boleh pengaruh mereka untuk membaca dan bersukan. Cool!”

(Mad Jan, Rabu 24 Ogos 2005, Gol & Gincu)

Penulis ingin meminjam kata-kata Mad Jan pada awal artikelnya (artikel yang sama) untuk menyimpulkan ulasan yang penulis tulis ini. “Predictable, ya, tapi tak boring.”
*** bintang untuk filem ini.

No comments: