24 October 2005

Membaca Irama Muzik

Muzik – ini suatu perkataan menarik. Semenarik apa yang dimaksudkannya. Ia juga mungkin magis bagi peminat-peminatnya. Tambah lagi, peminat yang fanatik. Kata mereka, “Hidup tak lengkap, tanpa muzik”.

Muzik seringkali didengar, tidak dibaca. Itu sudah jadi naturnya. Tapi, kadang-kadang, kita patut juga membaca muzik. Membaca lenggok melodinya. Membaca keindahan iramanya, sehinggalah selengkap-lengkap gabungan sebuah muzik dengan kata-kata – lagu.

Muzik yang bagus, menghantar perasaan, berita, emosi dan ilmu bersama-sama. Ya! Tidak perlu cuma dengan perkataan sahaja. Muzik yang mandom, sedikit berelemen gothic, slow nak mampos atau tak de semangat, boleh menunjukkan rasa sedih dan simpati ke atas kesedihan orang lain. Begitu juga dengan muzik yang rancak, laju tak ingat, fast can die dan berelemen grinding, muzik sebegini seperti mahu menunjukkan rasa marah, protes atau berontak ke atas sesuatu perkara dan kadang-kadang perkara itu mungkin diri kita sendiri.

Awal bulan sudah, kita di Malaysia didedahkan dengan alunan piano Maksim. Lagu Bumblebee. Memang dia seorang yang berbakat. Memang dia seoarng yang berperasaan. Chemistry antara dia dengan pianonya terlihat, dengan alunan mantap, mainan jarinya tidak pernah silap memetik bar piano kaler hitam putih. Seperti Vanessae Mae lagaknya. Cuma berbeza sedikit dengan Vanessa, dia tidak bermain biola. Tapi dia tidak menghampakan – itu perkara yang dikongsi bersama dengan Vanesa selain daripada bermain instrumental – bakal-bakal peminatnya.

Muzik yang mereka main ini – Vanesa dan Maksim – saya sendiri tidak tahu jenisnya. Rock? Pop? Metal? Jazz? Etnik kreatif? Itu terpulang pada mereka yang mahir mengklasifikasikan muzik. Cuma yang saya tahu, perasaan mereka jelas sampai pada saya. Dan lagi, yang paling penting saya dapat berkongsi perasaan dengan mereka. Apa perasaannya? Itu mungkin subjektif. Berbeza mengikut persepsi yang mendengarnya. Tapi, saya dapat rasakan mereka bukan sedang bergembira. Mereka juga bukan dalam keadaan sedih. Dan paling pasti mereka tidak memberontak. Yang dapat saya rasakan, perasaan mereka berkecamuk. Bercampur baur. Mungkin marah. Mungkin juga tidak puas hati. Mungkin membayangkan keadaan depress yang mereka alami.

Di Malaysia, selain Okestra RTM cuma sebilangan sahaja artis yang berminat dengan muzik jenis ini. Muzik instrumental. Contoh yang paling baik saya rasa, ialah Jari dan Moram. Malang nasib mereka, muzik mereka tidak diterima oleh masyarakat di sini. Muzik mereka masih eksklusif.

Persoalannya sekarang, kenapa perkara macam boleh terjadi? Bila kita buat satu muzik untuk sampaikan perasaan kita, masyarakat sendiri tak dapat terima muzik macam itu. Sedangkan bila orang luar buat, mereka lebih dapat sambutan lagi. Agaknya kenapa? Mungkin masyarakat kita bukan ataupun masih belum lagi dapat mengamalkan tabiat membaca muzik. Bukan setakat dengar, tapi lebih lagi – baca dan faham! Seperti membaca buku, apa yang tertulis – tulisan, abjad, perkataan, huruf - adalah sesuatu yang cuma fizikalnya nampak, tapi tanpa menganalisa, menghayati, berfikir serta berpolemik dalam fikiran, pembaca cuma melihat apa yang tertulis – abjad-abjad yang tersusun menjadi ayat, seterusnya ayat-ayat yang tersusun menjadi paragraf dan dari paragraf-paragraf ini tercipta satu karangan - secara lahiriah sahaja.

Sama juga halnya dengan muzik. Muzik bukan setakat untuk didengar. Cukup sedapnya sahaja, kira dah boleh layan. Muzik sepatutnya dibaca, difahami apa perasaannya, apa yang mahu disampaikan oleh komposer tersebut.

Pernah dengar lagu Masirah nyanyian M. Nasir? Apabila mendengarnya, saya berkongsi rasa sedih dan kadang-kadang, rasa marah, dendam. Tambah-tambah lagi, dengan kekuatan liriknya berkenaan perjuangan rakyat Palestine demi pembebasan. Lagi itu cukup ramuan. Cuma orang-orang yang enggan membaca muzik sahaja merasakan lagu tersebut kosong.

Sampai bila agaknya, kita cuma mahu jadi pendengar. Memang agaknya, itu realiti masyarakat sekarang, seringkali mengambil yang luarnya sahaja. Dan mereka cukup puas hati dengan semua ini. Namun, mungkin mereka kurang sedar, bunga plastik yang cantik, tidak punyai nilai-nilai estetika tersendiri. Melihat sebenarnya adalah untuk merasai. Bukan setakat di mata, tapi terus ke hati. Bagai ungkapan, “dari mana datangnya cinta, dari mata turun ke hati”.

Kefahaman tentang muzik bukan setakat mengetahui apa jenis muzik tersebut, malahan mengetahui juga perasaan yang mahu dibawa oleh sesuatu muzik. Immanuel Kant, seorang tokoh zaman enlghtenment Eropah, pernah mengulas mengenai muzik. Katanya, “Kesan muzik adalah sangat kuat, sangat cepat, ikhlas dan tidak pernah menipu. Manusia telah mendendangkan muzik sejak beberapa abad yang sudah tanpa mengambil kira; kandungannya yang tersirat, mereka enggan untuk mengiktiraf, sesuatu konsep yang abstrak dari yang tersurat, yang terdapat dalam sesebuah muzik”.

Sama ada kita mahu terus mendengar muzik, itu terpulanglah. Tapi sekali mendengar, pastikan turut membacanya.

*dipetik daripada majalah GB Februari 2004

2 comments:

Anonymous said...

Where did you find it? Interesting read Synthroid and lipitor with alcohol Zoloft drug over dose

Anonymous said...

Enjoyed a lot! film editing schools