Buat pertama kalinya cereka ini ditayangkan di TV (2003), penulis terlepas peluang untuk menyaksikannya. Dengar kata kawan aku, cereka ini memang menarik. Teramat menarik ceritanya.
Penulis mula mengenali Osman Ali dengan melihat hasil kerjanya -- Bukak Api. Ulasan-ulasan berkenaan cerita tersebut, kebanyakannya positif. Kisah Bukak Api memang memperjuangkan golongan tertindas - golongan pelacur dan mak nyah dalam filem tersebut dipaparkan dengan kehidupan mereka di Lorong Haji Taib.
Orang asyik menghina, mengeji, tidak pernah mahu melihat punca dan sebab kenapa ianya terjadi. Masing-masing memandang hina pelacur dan mak nyah, meletakkan mereka ke tahap paling rendah, menginjak-injak bagai mereka tidak berhak untuk hidup dalam dunia ini.
Namun, orang memang selalu berperangai begitu, tidak tahu menahu langsung tentang apa yang dihinanya. Sering menyalahkan keadaan tanpa melihat punca berlakunya keadaan tersebut.
Begitulah kenalnya penulis dengan Osman Ali. Seorang pengarah muda yang berbakat besar. Sehinggalah penulis mula mengetahui bahawa Osman Ali adalah pengarah dan penulis skrip cereka Tollgate Girl. Dan ketika mula mengetahui, tentang perkara tersebut, penulis benar-benar rasa rugi tidak menonton cereka Tollgate Girl buatannya yang disiarkan di NTV7 dua tahun (sekarang 2003) sudah.
Penulis amat bertuah, terjumpa dengan CD berkenaan beberapa hari sebelum raya tahun ini (2003). Tanpa membuang masa, penulis membeli CD - sudah tentu CD haram - dan, nah! Penulis menontonnya berkali-kali.
Ini yang penulis nampak dari filem tersebut - perjuangan kaum tertindas mahu menegakkan hak-hak mereka. Waktu pertama kali penulis menonton cereka ini, terus fikiran penulis terarah kepada feminisme.
Cereka ini benar-benar memperjuangkan kaum wanita - antara kaum yang sering ditindas umum. Perhatikan babak ini -- babak ketika teksi yang membawa Markonah (Amy Mastura) rosak di tengah jalan.
Pemandu teksi tersebut, mahu menolak teksinya yang rosak itu dan disuruhnya Markonah membawa kereta, tapi Markonah enggan, sebaliknya menawarkan dirinya untuk menolak teksi tersebut.
Ketika dia sedang menolak teksi itu, datang, Polis Bantuan PLUS, dan salah seorang pegawai polis tersebut berkata kepada Markonah, “Biar saya tolak teksi ni.” Markonah sebaliknya menjawab dengan penuh feminismenya, “Saya perempuan, saya pun boleh tolak”.
Itu satu contoh persoalan feminisme dibawa dalam filem tersebut. Dilema seorang perempuan tinggal dalam satu dunia patriarchy seperti dunia hari ini. Namun, kali ini, dalam cereka tersebut dipertontonkan bagaimana pula seorang lelaki hidup dalam dunia yang penuh dengan wanita. Kita cuma akan sedar setinggi mana kita di atas dengan duduk di tempat paling bawah sekali.
Dan kita juga akan kenal benar erti kesusahan, apabila kita sendiri berada dalam keadaan susah. Kesusahan orang lain serta masalah orang lain, jangan berani cakap kita boleh atasi. Cuma dengan menjadi orang itu, barulah kita mampu kenal kesusahannya!
Osman Ali juga jelas, kalaupun tidak ada niat, mahu memaparkan tentang perjuangan kelas. Orang kelas bawahan, sudah bosan berada di bawah, mahu juga supaya orang yang di atas melihat orang yang di bawah.
Jeritan, emosi serta pemikiran kelas bawahan - kelas yang selalu juga ditindas, diejek serta diherdik - dipaparkan, mungkin bukan dengan niatnya, mungkin, dalam adegan selama 30 minit perbualan antara Markonah dan Johan (Rasyid Salleh) dalam kereta BMW warna merah milik hartawan muda, Johan.
Jauh perbezaan kelas antara Johan dan Markonah dapat dilihat dengan penampilan Johan - kereta mewah, tidak berapa faham dengan bahasa loghat, sibuk dengan bisnes - dan Markonah - gadis Melayu yang simple, kerja jaga tol, terdesak nak balik beraya di kampung, pilih gerai tepi jalan – itu sendiri. Dan Johan akhirnya merasa kehilangan sesuatu, apabila melihat keluarga Markonah berpelukan di pagi raya.
Ada satu babak, ketika mereka mula-mula keluar minum. Dalam babak tersebut, Markonah dengan lantangnya menghina kelas atasan yang dirasakannya cuma pentingkan gaya dan kedudukan mereka.
Perhatikan baris-baris ini, (baca dengan loghat Utara), “Tapi, saya memang tak suka nak keluaq kat tempat-tempat yang ade kelaih, kena jaga cara makan, kena jaga cara duduk, cakap pun cot cet - cot cet, bebisik-bisik, nyampah, tahu dak. Pasai tu la saya tak suka keluaq dengan oghang kaya.
Depa ni ngada-ngada, gila glamer. Cik Johan, tau kalau depa nak minum kopi, sanggup pi kat kedai-kedai kat tepi jalan nu, kedai kopi branded, tau dak, kedai branded la, kononnya, sanggup ni, berasap, berpanaih,berabuk, depa tak kisah tau. Janji depa buleh tunjuk, tayang muka kat semua oghang, la ni, yang depa tu banyak duit, boleh minum kat tempat yang ada kelaih macam tula, kann..
Ianya bukan satu filem cinta kosong. Ianya padat mesej dan mesej ini ditujukan kepada sipenindas-penindas supaya hentikanlah menindas. Terapkanlah kasih sayang. Kekayaan bukan suatu alat atau lesen supaya kita menindas.
Lakonan bersahaja para pelakon dalam cereka tersebut, membuatkannya jadi lebih kuat. Pelakon dalam cerita ni, bukannya berlakon tapi seperti berada dalam dunia nyata. Amy Mastura dan Rasyid Salleh berjaya bawa watak dengan berkesan. Sama seperti keluarga Markonah di kampung. Dan buat pertama kalinya penulis memuji lakonan Rita Rudaini, cukup bagus dan berkesan.
No comments:
Post a Comment