Penulis hanya menonton sambutan kemerdekaan yang ke 48 dari rumah. Menonton dari kaca televisyen. Emosi juga apabila menonton lintas langsung ke Shah Alam. Beberapa tahun sudah penulis ada di situ. Dua kali. Tak banyak yang penulis sambutkan. Kerana pada hari itu penulis berteman. Penulis puas mendengar canda dan gelak tawanya. Sehinggakan penulis tidak sedar akan sambutan yang diadakan.
Ingatan penulis terarah kepada peristiwa menyambut hari kemerdekaan dengan kawan-kawan. Penuh dengan suka ria. Berjenaka, tidak tahu duduk diam. Penulis amat bersyukur kerana mendapat kawan yang baik dan bertimbang rasa. Penulis tidak dapat bayangkan jika penulis mendapat kawan yang tidak baik dan pentingkan diri sendiri.
Bagaimana mahu menilai erti kemerdekaan dan semangat patriotisme seorang rakyat? Adakah cukup dengan meletakkan banyak bendera di hadapan kenderaan masing-masing, memakai baju bercorak kebangsaan, menyanyikan lagu nasional dengan bersemangat, menonton filem-filem yang berunsur patriotik? Atau adalah lebih baik menjadi seorang rakyat yang kenal erti kemerdekaan dengan lebih mendalam, bukan hanya dengan bersemangat menyatakan apa yang diluar sahaja.
Elemen-elemen penting kemerdekaan jiwa dan rohani dari penjajahan serta kemerdekaan pemikiran dari sebarang penindasan baik yang jelas atau tersirat merupakan suatu perkara yang paling penting yang patut diberi perhatian. Malang sekali bagi sesebuah bangsa jika terus dijajah pemikiran dan jiwanya! Lebih-lebih lagi mereka yang tertindas dalam tidak sedar.
Apa yang penting adalah kawalan ke atas diri anda. Kawalan itu juga merupakan kemerdekaan kepada diri. Namun jangan sesekali memberikan kawalan tersebut kepada orang lain, terutamanya rakan-rakan seperti dalam konteks tadi.
Sebagai manusia yang bebas, kita tidak patut biarkan diri kita dikawal oleh orang lain. Tiada tempat bagi penguasa, majikan, ibu bapa, pensyarah, rakan-rakan atau ulama untuk mengawal kebebasan diri kita. Yang selayaknya mengawal diri kita ialah kita sendiri.
Jika anda berjaya berbuat demikian (seperti yang di atas), maka jeritlah Merdeka sebanyak tiga kali, selayaknya Tunku Abdul Rahman dan seluruh rakyat Malaya yang berbuat demikian pada 31 Ogos 1957.
Manusia akan hanya merdeka jika bila di sana terdapat satu keadaan yang membenarkan mereka bebas dari cengkaman manusia sendiri. Merupakan suatu penghinaan apabila manusia dikuasai oleh manusia. Manusia tidak boleh memerintah manusia. Lumrah dunia - manusia sama sahaja. Mana mungkin ia dijajah oleh manusia itu sendiri. Apabila berlakunya penjajahan jenis ini maka larutan daripada itu tercetuslah juga satu keadaan yang dipanggil kezaliman!
Penjajah manusia yang paling berbahaya pada masa kini ialah duit dan kuasa. Manusia sanggup berkiblatkan duit dan kuasa dan menjadi hamba material keduniaan. Rasuah semakin menjadi-jadi. Ada insan yang melihat rasuah itu rutin dalam hidup.
Sehinggakan ada kes-kes rasuah sengaja disenyapkan dan tidak ada tindakan terhadap mereka – walaupun ada di antaranya mempunyai kes prima facie – , tali barut penjajah ini. Perasuah ini gembira melihat negaranya dicemari oleh penjajah yang memberikan sedikit kepentingan kepada mereka.
1 comment:
Enjoyed a lot! » »
Post a Comment