12 September 2005

Cinta

Benar cinta tidak kesampaian itu merupakan sebuah cinta yang agung. Seperti kata Hishammudin Rais dalam kolumnya di Malaysiakini.com lewat beberapa tahun sudah. Katanya, “Cinta yang agung adalah cinta yang gagal. Cinta ke jinjang pelamin tidak pernah menjadi satu tarikan untuk dijadikan naratif. Jika si Uda berkasih, bertunang, berkahwin dengan Dara; dan Dara mengandung beranak, bercucu, bercicit, pastilah teater Uda Dara Usman Awang membosankan.

“Romeo dan Juliet tanpa dihalangi percintaan mereka, pasti tidak akan di bangsawankan oleh Shakespear. Babak-babak akhir dalam kisah hidup Jebat adalah kisah cinta mautnya terhadap Dang Wangi. Dr.Zhivago dan Lara, terhalang cinta mereka kerana Revolusi Oktober. Ali dan Nina berpisah juga akhirnya akibat perang.

“Sesekali, seorang suami atau seorang isteri, mungkin teringat juga pada kekasih lama yang ditinggalkan, walaupun kini mungkin hidup dalam bahagia/sengsara berumahtangga. Dalam saat-saat sunyi, hati kecil ingin bertanya, apa yang akan terjadi jika aku berkahwin dengan si anu dan bukan dengan yang ini. Inilah sebahagian keindahan cinta gagal. Berahi cinta yang menolak manusia untuk terus belayar dalam hidup mereka.

“Tiada seorang suami atau seorang isteri atau seorang anak muda yang ingin mendengar/ membaca/melihat percintaan klise yang berakhir dengan anak cucu. Naratif dalam satu percintaan gagal adalah kanon dari semua naratif perjalanan sejarah manusia.”

(Kolum Dot Mai, Janji di musim panas, 13 Disember 2003, malaysiakini.com)

Penulis teringat akan surat Muhamad Yusof kepada Siti Salina dalam novel agong Salina karangan A. Samad Said. Tulis surat itu, "Inah tau kan? Bom pertama yang jatuh di Singapura 8 hari bulan Disember itu membimbangkan saya benar-benar. Saya rasa seolah-olah bom itu jatuh di dalam hati saya sendiri.; saya rasa bom itu hendak memusnahkan Inah. Hati saya tidak sedap saja selepas itu.

"Saya bukan hendak membimbang-bimbangkan Inah. Saya juga bukan hendak menakut-nakutkan Inah. Tapi benarlah peperangan, selalu dan dimana-mana, membawa akibat yang tidak baik saja. Ia merampas segala.

"Ia boleh rampas kasih sayang kita juga." Betul telahan Muhamad Yusaf itu. Akhirnya peperangan merampas segala–galanya. Termasuklah kasih sayang di antara mereka.

Menurut novel itu lagi, "sengaja saya menulis tentang perang, Inah. Dan sengaja saya tulis tentang perang merampas segala, sebab apa yang hendak saya katakan ialah tentang perampasan itu jugalah. Bacalah baik-baik Inah, dan tenangkanlah benar-benar fikiran dan hati Inah bila membaca surat saya ini.

"Inah tahu saya sudah jadi volunteer, kan? Saya sudah cakap kepada Inah dahulu. Sekarang saya akan dihantar ke tempat lain, Inah.

"Saya dan kawan-kawan lain akan dibawa ke suatu tempat yang masih belum diketahui lagi di mana. Khabarnya kami akan belajar menggunakan senjata (tidak lagi belajar cara mengikat bandage dan membalut luka!). Saya dan kawan-kawan lain akan belajar pula cara hendak menggunakan senjata untuk membunuh manusia yang menjadi musuh. Saya akan menjadi perampas kasih sayang orang pula, kalau orang yang saya bunuh itu ada kekasihnya nanti. Dan saya akan dibunuh mereka pula dengan tidak mengira apakah saya ada kekasih atau tidak. Perang suka begitu! Barangkali Inah mengerti sekarang apa yang saya maksudkan dengan perang merampas segala itu.

"Kalau saya pergi Inah janganlah memikirkan saya pergi dengan melupakan Inah.

"Saya pergi hanya memenuhi panggilan masa; saya pergi kerana paksaan keadaan. Saya tidak suka pergi perang; saya tidak suka mendengar tentang perang ataupun melihat perang. Tetapi masa dan keadaan memaksa! Tapi, bila saya pergi, Inah tetap tidak luput dari hati saya, sebab Inah berada di dalam hati saya. Walau apa pun terjadi ke atas diri saya, walaupun, umpamanya - dan siapalah tahu - perang merampas saya dari Inah . . . . "

Benar. Sekali lagi penulis katakan bahawa cinta yang gagal adalah cinta agong. “Hanya saat ini yang akan mengerti, pasti tidak kau menoleh pada waktu indah itu, hanya saat ini mengubah dirimu kasih, meresapi jiwamu yang lara, tidak kuduga mengapa begini berakhirnya episod cinta nan luka, tak mungkin akan bersinar kembali, tak mungkin kau sedari, musnah semua janji yang terucap dalam senyum menusuk di dada dan kini kau telah pergi tinggal ku sendiri.”

Lagu itu kedengaran dihujung telinga penulis. Masih terngiang-ngiang lagi walaupun sudah tidak kedengaran. Penulis faham akan maksud lagu tersebut dan penulis dapat rasakan apa yang mahu disampaikan oleh penyanyi berkenaan.

No comments: