01 September 2005

PKM dan kemerdekaan

Penulis ketawa bersendirian apabila mendengar dan menonton sebuah segmen di rancangan berita salah sebuah stesen televisyen tempatan. Ketawa panulis semakin besar akibat dari ungkapan yang dilontar oleh seorang orang yang senior di tengah salah sebuah segmen tersebut. Ungkapan tersebut berbunyi [lebih kurang], “jangan kita diperdayakan oleh filem-filem dan drama-drama di kaca televisyen. Komunis tidak sekemas dan sebaik yang ditunjukkan. Rupa mereka serabai dan mereka tidak sebaik yang ditunjukkan.”

Setahu penulis, keadaan komunis tidak ditunjukkan mereka sopan dan kemas tetapi lebih ditunjukkan sebaliknya. Sebutkan judul-judul filem dan drama terbitan tempatan, kesemuanya mempamerkan wajah hodoh komunis.

Mungkin ada yang menunjukkah perangai positif komunis. Antaranya, filem Paloh arahan Adman Salleh dan filem ini juga mendapat penghargaan di festival Filem Malaysia yang diadakan pada tahun lepas dan Anugerah Skrin yang diadakan tahun ini. Tetapi kebanyakan filem-filem dan drama-drama tempatan dijadikan medan propaganda dan penonton selalu dimomok-momokan dangan perkataan komunis itu sendiri.

Walaupun komunis merupakan suatu ideologi yang lapuk dan PKM ternyata tersalah cara tetapi usaha menutup maklumat sebenar adalah terlampau melampau. Ditakuti ada maklumat sebenar dilindungi.

Chin Peng dalam bukunya mengakui bahawa PKM tersilap kira, “kami akui tentang banyak kesilapan yang menjejaskan hubungan rapat kami dengan rakyat, terutamanya rakyat kelas pertengahan." Chin Peng berkata demikian di dalam bukunya Alias Chin Peng: My Side of History.

Menurut Chin Peng di dalam bukunya, "tulisan ahli sejarah barat mengenai Darurat selalunya memulai kisahnya dengan pembunuhan tiga peladang British di Sungai Siput pada Jun 1948, seolah-olah keganasan bermula di situ. Memang mudah ia dijadikan sebagai permulaan, tetapi ianya tidak tepat dari segi sejarah."

Sambungnya lagi "saya percaya kami telah melakukan kesalahan besar dalam mendraf arahan berkaitan kerana gagal mentakrifkan secara tepat mengenai sasaran-sasaran yang hendak dihapuskan . . . Tetapi ada juga kesalahan-kesalahan lain, yang membayangkan kesilapan dalam pemantauan. Bila arahan disampaikan ke bawah, interpretasi peribadi telah dilakukan, dan berasaskan interpretasi peribadi itu, tindakan yang tidak harus berlaku, telah diambil."

Dia juga mengakui beberapa kelemahan PKM, "Kami akui tentang banyak kesilapan yang menjejaskan hubungan rapat kami dengan rakyat, terutamanya rakyat kelas pertengahan. Kami mengarahkan pasukan kami menghentikan perbuatan menetak pokok-pokok getah, menyita kad-kad pengenalan, membakar bas dan menyerang keretapi awam."

Said Zahari, seorang wartawan dan penulis terkenal, juga Pengarang akhbar Utusan Melayu, dalam memoirnya, Meniti Lautan Gelora, telah menjelaskan mengenai peribadi Chin Peng sebagai seorang yang "amat jujur dan berterus terang".

Dalam pertemuannya dengan Chin Peng di Bangkok seperti yang beliau tulis dalam memoirnya, beliau juga menganggap, "Lebih daripada itu, Chin Peng adalah seorang pemimpin yang berani menerima kritikan, dan berani menerima dan memikul tanggungjawab, seperti semestinya seorang komunis tulen."

Sambungnya lagi, "Aku salute Chin Peng. Dalam perbualan kami sebelum itu, aku sudah pun melihat jiwa keperikemanusiaan Chin Peng semasa beliau bertanyakan khabar isteri dan anak-anakku, sekarang dan sebelum aku dibebaskan. . . Wajahnya kelihatan amat sedih, matanya kemerahan, berlinangan air, Chin Peng menundukkan kepalanya beberapa ketika, senyap sesenyap-senyapnya."

Dan pada hari-hari menyambut kemerdekaan ini janganlah kita lupa kepada Chin Peng, kerana ada juga jasa Chin Peng pada negara. Dia bersama-sama pejuang lain turut serta membebaskan Tanah Melayu dari cengkaman penjajah. Sebagai insan yang pemaaf dan sebagai rakyat Malaysia lebih baik kiranya kita memaafkan kesalahan-kesalahannya. Serahkan pada tuhan untuk mengadilinya, dan tuhan amat berhak menghukumnya [jika dia mempunyai kesilapan].

No comments: