30 September 2005

Retro Panggung -- Filem The Matrix: Propaganda Komunis?

Tayangan pembukaan filem The Matrix:Revolution pada 6 November 2003, di Russia disambut bukan sahaja dengan orang ramai bersesak dipanggung-panggung, malahan ia juga disambut dengan piket dan demonstrasi oleh penyokong fahaman komunis negara tersebut.

Seperti yang dilaporkan di web Annanova, seramai 32 orang anak muda telah berpiket di luar panggung Pushkinskiy - dengan mengenakan pakaian berwarna merah, memakai helmet tentera Soviet dan spek mata hitam ala Matrix - bagi menyambut filem tersebut dan merayakan ulang tahun Revolusi Bolshevik.

Web tersebut yang juga sebuah web akhbar dan majalah, turut melaporkan bahawa seorang daripada ahli Parti Komunis (KPRF) telah berkata bahawa, Neo - watak utama dalam filem tersebut - adalah seorang komunis tulen. Dalam mengulas perkara yang sama, menurut web tersebut, Oleg Bondarenko, pemimpin pemuda gerakan Parti Komunis, berpendapat bahawa Neo adalah tidak ubah seperti Lenin, seorang revolutioner.

Dalam perkembangan berkaitan AFP, sebuah agensi berita antarabangsa turut mengulas berita ini, dan melaporkan bahawa anak-anak muda tersebut, yang menyertai piket/flash mob, turut memegang sepanduk bercahaya yang berbunyi "We are NEO-communists (Kami Adalah Komunis-Neo [Komunis-Baru])" dan "Destroy the Matrix (Musnahkan Matrix)".

Berita yang sama juga turut disiarkan dalam web akhbar MoscowTimes.com, sebuah web yang beribu pejabat di Russia. Oleg Bondarenko juga dipetik, sebagai berkata bahawa Parti Komunis adalah dalam perancangan untuk menarik minat ramai lagi penyertaan dari golongan muda dan salah satu daripada usaha mereka ialah dengan mengadakan piket atau 'flash mob' ini. "Rakyat mungkin menganggap Parti Komunis sudah 'pencen', namun kami akan ubah persepsi tersebut dengan program 'Mengemaskini KPRF (Upgrading KPRF)' dan 'Kiri Baru (The New Left)'" kata Bondarenko yang juga merupakan pengarah projek pemuda Parti Komunis.

Beliau turut menambah, "Kami mahu ramai lagi anak muda yang menyertai kami. Dan kami juga mahu meyakinkan mereka, bahawa KPRF adalah sebuah pertubuhan yang cool."

Di negara ini, seorang penulis, sutradara dan pengkritik filem, Sdr Hishamuddin Rais, turut menyatakan filem The Matrix berjaya membawa persoalan tentang falsafah, terutamanya isu berkaitan dengan ideologi, selain daripada turut membawa tentang persoalan agama.

Menurut beliau, "Jangan diperbodohkan dengan pelbagai aksi dalam filem Wachowski brothers ini. Setiap perbuatan dan lakonan mempunyai maksud yang tersirat. Pelakon tidak di suruh sahaja berlakon mengikut skrip, malahan berlaokn mengikut kehendak mereka." Beliau menambah lagi, "Filem ni, berjaya menampilkan imej Buddha, Jesus dan Allah, pastikan mata tu terbukak luas bila menonton filem ini."

Beliau berkata demikian ketika sessi Diskusi Filem, The Matrix anjuran Universiti Bangsar Utama, yang dianjurkan baru-baru ini.

Seorang professor dari University of Texas Arlington, turut berkongsi pendapat yang sama dengan Sdr Hisham. Namun profesor ini melanjutkan lagi pendapatnya dengan mengaitkan filem ini dengan Marxisme.

Pemikiran Karl Marx yang mencetuskan ideologi komunisme, merupakan musuh pihak kapitalisme nombor 1. Dan dalam filem ini, Matrix ialah sistem kapitalis, manakala Neo, Morpheus, dan Trinity adalah lambang bagi perjuangan komunis.

Dalam filem ini, menurut profesor tersebut, batteri yang dijadikan bekalan tenaga bagi kehidupan robotik di dalam Matrix, adalah seperti keringat dan usaha para pekerja, yang dimetaforkan sebagai manusia yang hidup cuma untuk bermimpi. Beliau berkata demikian, seperti apa yang dilaporkan oleh Patrick McGee, dalam buletin internet Star Telegram.

Dan seperti perjuangan komunis, revolusi adalah penyelesaian, maka begitulah filem The Matrix ini. The Matrix: Revolution menjadi penutup kepada sebuah siri filem yang bukan sahaja berjaya melakukan revolusi ke atas teknik perfileman malahan turut memaparkan kepelbagaian falsafah ideologi dan agama, disebalik layarnya.

26 September 2005

Roda

Tru Davies (lakonan Eliza Dushku) sering mengalami harinya yang berulang. Mayat yang telah mati akan meminta tolong kepadanya dan dia sebagai manusia yang bertanggungjawab amat merasa terpanggil untuk membantu mayat-mayat itu. Ada yang dapat diselamatkan dan ada yang tidak dapat diselamatkan.

Begiulah serba sedikit tentang drama bersiri Tru Calling yang disiarkan pada setiap hari Ahad, pukul 9:30 malam di TV3. Dramanya menarik, dan yang paling menarik ialah peran yang dimainkan oleh Eliza Dushku, Tru Davies. Aksinya sebagai pembantu di bilik mayat amatlah lincah. Dan Eliza berjaya dalam pembawaan peran tersebut.

Tetapi itu cuma naratif. Naratif yang dibina oleh segala pemain-pemainnya. Kita tahu bahawa peran seperti Tru Davies itu cuma fiktif, imaginasi penciptanya. Tetapi saat ada mayat meminta tolong, kitapun mungkin merasa terpanggil untuk membantu mayat berkenaan.

Pada hari Sabtu yang lepas, fenomena yang dialami oleh Tru bagai terjadi kepada skuad sepak bola Perak Kekalahan kepada Selangor – yang bermain di tempat sendiri – bagai mengulangi peristiwa pada tahun 1990. Cuma kali ini perannya berbeza. Selangor pula berjaya menewaskan Perak dengan jaringan gol sebanyak 4 berbalas 2. Di mana pada tahun 1990 pasukan Perak telah berjaya mengatasi Selangor dengan jumlah jaringan gol yang sama iaitu 4 – 2.

Walaupun tewas, pasukan Perak telah berjaya mempamerkan corak permainan yang berlawan. Prestasi Troare Abdulaye dan Keitha Mandjou amat membanggakan. Walaupun dengan ketiadaan Frank Seator, tetapi anak-anak buah Tony Netto berjaya mengkucar-kacirkan kubu lawan.

Ibarat roda, kekalahan Perak kali ini terjadi selepas selama 15 tahun jumlah jaringan itu menjadi sejarah.

Sememangnya tuhan tidak berkehendakkan Perak untuk menang. Tendangan dan tandukan Keitha Mandjou yang tersasar menjadi bukti bahawa nasib tiada berada di sebelah pasukan Perak.

Aku menyanjung tinggi persembahan Shahrul Nizam Mustafa – mungkin boleh menggantikan tempat Azizol Abu Hanifah, Wirat Nom, Ahmad Shahrul Azhar, Jibom dan Syamsol Saad. Bagi aku tanpa mereka-mereka ini mungkin akan pincang pasukan Perak.

Tahniah kepada pasukan Selangor dan tahniah juga buat pasukan Perak kerana berjaya mempamerkan mutu permainan yang cemerlang. Mungkin masih berkemampuan lagi bagi pemain-pemain sepak bola negara ini memecah kebuntuan selepas pasukan bawah 23 dibelasah teruk 7 – 0.

19 September 2005

Tahniah buat pasukan sepak bola Perak. Walaupun tumpas semalam tetapi pasukan Perak tetap melawan. Dan begitulah semangat yang kita inginkan. Tahniah sekali lagi dan selamat maju jaya di final Piala FA.

Mari raikan cinta

Perang
Itu satu gejolak
Pertembungan
Huru hara
Rampas kuasa
Mungkin
Mari raikan cinta

Karena dengan cinta
Dapat melihat perasaan
Dapat menggapai tawaduk
Dapat memegang keikhlasan
Mari raikan cinta

Karena tanpa cinta
Mungkin kita tidak kenal erti perih
Mungkin kita tidak kenal erti manja
Atau mungkin kita tidak kenal apa itu sengsara

Walau diciptakan manusia berpasang-pasangan
Tetapi mungkin manusia sendiri dahagakan kasih sayang
Mendakap kenikmatan walau sekejap sahaja
Menjadikan kebencian suatu tanda kemesraan

Mungkin ini suatu takdir
Mungkin juga ia satu kehendak
Dari yang maha esa

Jangan karena cinta
Kitakan mudah lupa
Cinta itu pemberian yang maha esa
Walau sedetik jua ia pasti akan berada dihati

Dan sesuatu pemberian yang maha esa itu
Janganlah kita salah gunakan
Karena pembawaan cinta yang salah
Mungkin akan menyalahkan kita

Jangan karena cinta
Kita kehilangan orang tersayang

Nyata cinta itu suatu yang sukar
Untuk dilafazkan
Karena cinta itu milik yang maha kuasa

Milik yang maha kuasa
Pemilik roh* kita
Sekalian manusia

Dan tanpa cinta mungkin dunia ini tiada
Karena cinta adalah segala-galanya
Mari raikan cinta

* Kata-kata dari Andra Ramadhan dari kugiran Dewa.

17 September 2005

Retro Panggung: Tollgate Girl

Buat pertama kalinya cereka ini ditayangkan di TV (2003), penulis terlepas peluang untuk menyaksikannya. Dengar kata kawan aku, cereka ini memang menarik. Teramat menarik ceritanya.

Penulis mula mengenali Osman Ali dengan melihat hasil kerjanya -- Bukak Api. Ulasan-ulasan berkenaan cerita tersebut, kebanyakannya positif. Kisah Bukak Api memang memperjuangkan golongan tertindas - golongan pelacur dan mak nyah dalam filem tersebut dipaparkan dengan kehidupan mereka di Lorong Haji Taib.

Orang asyik menghina, mengeji, tidak pernah mahu melihat punca dan sebab kenapa ianya terjadi. Masing-masing memandang hina pelacur dan mak nyah, meletakkan mereka ke tahap paling rendah, menginjak-injak bagai mereka tidak berhak untuk hidup dalam dunia ini.

Namun, orang memang selalu berperangai begitu, tidak tahu menahu langsung tentang apa yang dihinanya. Sering menyalahkan keadaan tanpa melihat punca berlakunya keadaan tersebut.

Begitulah kenalnya penulis dengan Osman Ali. Seorang pengarah muda yang berbakat besar. Sehinggalah penulis mula mengetahui bahawa Osman Ali adalah pengarah dan penulis skrip cereka Tollgate Girl. Dan ketika mula mengetahui, tentang perkara tersebut, penulis benar-benar rasa rugi tidak menonton cereka Tollgate Girl buatannya yang disiarkan di NTV7 dua tahun (sekarang 2003) sudah.

Penulis amat bertuah, terjumpa dengan CD berkenaan beberapa hari sebelum raya tahun ini (2003). Tanpa membuang masa, penulis membeli CD - sudah tentu CD haram - dan, nah! Penulis menontonnya berkali-kali.

Ini yang penulis nampak dari filem tersebut - perjuangan kaum tertindas mahu menegakkan hak-hak mereka. Waktu pertama kali penulis menonton cereka ini, terus fikiran penulis terarah kepada feminisme.

Cereka ini benar-benar memperjuangkan kaum wanita - antara kaum yang sering ditindas umum. Perhatikan babak ini -- babak ketika teksi yang membawa Markonah (Amy Mastura) rosak di tengah jalan.

Pemandu teksi tersebut, mahu menolak teksinya yang rosak itu dan disuruhnya Markonah membawa kereta, tapi Markonah enggan, sebaliknya menawarkan dirinya untuk menolak teksi tersebut.

Ketika dia sedang menolak teksi itu, datang, Polis Bantuan PLUS, dan salah seorang pegawai polis tersebut berkata kepada Markonah, “Biar saya tolak teksi ni.” Markonah sebaliknya menjawab dengan penuh feminismenya, “Saya perempuan, saya pun boleh tolak”.

Itu satu contoh persoalan feminisme dibawa dalam filem tersebut. Dilema seorang perempuan tinggal dalam satu dunia patriarchy seperti dunia hari ini. Namun, kali ini, dalam cereka tersebut dipertontonkan bagaimana pula seorang lelaki hidup dalam dunia yang penuh dengan wanita. Kita cuma akan sedar setinggi mana kita di atas dengan duduk di tempat paling bawah sekali.

Dan kita juga akan kenal benar erti kesusahan, apabila kita sendiri berada dalam keadaan susah. Kesusahan orang lain serta masalah orang lain, jangan berani cakap kita boleh atasi. Cuma dengan menjadi orang itu, barulah kita mampu kenal kesusahannya!

Osman Ali juga jelas, kalaupun tidak ada niat, mahu memaparkan tentang perjuangan kelas. Orang kelas bawahan, sudah bosan berada di bawah, mahu juga supaya orang yang di atas melihat orang yang di bawah.

Jeritan, emosi serta pemikiran kelas bawahan - kelas yang selalu juga ditindas, diejek serta diherdik - dipaparkan, mungkin bukan dengan niatnya, mungkin, dalam adegan selama 30 minit perbualan antara Markonah dan Johan (Rasyid Salleh) dalam kereta BMW warna merah milik hartawan muda, Johan.

Jauh perbezaan kelas antara Johan dan Markonah dapat dilihat dengan penampilan Johan - kereta mewah, tidak berapa faham dengan bahasa loghat, sibuk dengan bisnes - dan Markonah - gadis Melayu yang simple, kerja jaga tol, terdesak nak balik beraya di kampung, pilih gerai tepi jalan – itu sendiri. Dan Johan akhirnya merasa kehilangan sesuatu, apabila melihat keluarga Markonah berpelukan di pagi raya.

Ada satu babak, ketika mereka mula-mula keluar minum. Dalam babak tersebut, Markonah dengan lantangnya menghina kelas atasan yang dirasakannya cuma pentingkan gaya dan kedudukan mereka.

Perhatikan baris-baris ini, (baca dengan loghat Utara), “Tapi, saya memang tak suka nak keluaq kat tempat-tempat yang ade kelaih, kena jaga cara makan, kena jaga cara duduk, cakap pun cot cet - cot cet, bebisik-bisik, nyampah, tahu dak. Pasai tu la saya tak suka keluaq dengan oghang kaya.

Depa ni ngada-ngada, gila glamer. Cik Johan, tau kalau depa nak minum kopi, sanggup pi kat kedai-kedai kat tepi jalan nu, kedai kopi branded, tau dak, kedai branded la, kononnya, sanggup ni, berasap, berpanaih,berabuk, depa tak kisah tau. Janji depa buleh tunjuk, tayang muka kat semua oghang, la ni, yang depa tu banyak duit, boleh minum kat tempat yang ada kelaih macam tula, kann..

Ianya bukan satu filem cinta kosong. Ianya padat mesej dan mesej ini ditujukan kepada sipenindas-penindas supaya hentikanlah menindas. Terapkanlah kasih sayang. Kekayaan bukan suatu alat atau lesen supaya kita menindas.

Lakonan bersahaja para pelakon dalam cereka tersebut, membuatkannya jadi lebih kuat. Pelakon dalam cerita ni, bukannya berlakon tapi seperti berada dalam dunia nyata. Amy Mastura dan Rasyid Salleh berjaya bawa watak dengan berkesan. Sama seperti keluarga Markonah di kampung. Dan buat pertama kalinya penulis memuji lakonan Rita Rudaini, cukup bagus dan berkesan.

16 September 2005

Fokus II

Ternyata malam berkenaan, Perak tidak kehilangan fokus. Tetapi kehendakNya mahukan Perak kalah. Perak penulis ucapkan syabas kerana meraih pelbagai peluang yang menarik. Penulis tdak lupakan untuk pasukan Perlis ribuan ungkapan tahniah kerana berjaya membawa bekalan selesa untuk dibawa pada hari Ahad nanti di Kangar.

Perak walaupun kalah pada malam kelmarin tetapi cukup membanggakan, kerana berjaya memberikan saingan yang sengit kepada Perlis. Penulis pasti saingan pada hari Ahad ini mungkin menjadi sebuah perlawanan terbaik musim ini.

Seperti kata jurulatih pasukan Perlis, Tuan Haji Abdul Rahman Ibrahim yang menganggap perlawanan pada malam hari Rabu yang lepas sebagai sebuah perlawanan yang paling menarik musim ini. Dan menurutnya lagi ini adalah kerana masing-masing pasukan asyik menyerang. Cuma nasib mungkin menyebelahi pasukan Perlis.

Malam hari Ahad nanti merupakan malam penentuan segalanya. Perak walaupun kalah pada hari malam yang lepas masih lagi berpeluang untuk mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Defisit satu gol tidak menjanjikan untuk Perlis pergi ke perlawanan akhir. Dengar khabarnya ramai yang ingin pergi ke Perlis untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua itu. Dan dengar khabarnya banyak tiket palsu yang dijual, cuma pesan penulis berhati-hati agar anda tidak membeli tiket palsu dan berhati-hati juga and di jalanraya.

Perak yang terpaksa mengharungi jadual yang ketat terpaksa pula menentang Perlis, yang kita tahu turun sebagai penyandang juara dan Perlis juga telah memenangi Piala Liga Super untuk tahun ini.

Kepada Datuk Jamal Nasir Rasdi, Tony Netto dan pasukan Perak penulis berharap agar fokus terhadap perlawanan pada malam Ahad ini disediakan pada tempat yang sepatutnya. Pasukan Perak telah berjaya memasuki perlawanan akhir sepak bola Piala FA. Kali ini adalah masanya untuk mengukir sejarah dan mengejar kejayaan berganda yang diidam-idamkan.

Pada malam hari Rabu yang lepas penulis dapat saksikan bahawa barisan penyerang Perak – Frank Seator dan Keihta Mandjou – telah agak kembali kepada form mereka seperti sedia kala. Frank Seator (terutamanya) seperti sudah pulih sepenuhnya daripada “kecederaan off formnya.”

Sejak kebelakangan ini penulis lihat corak permainan Frank Seator sudah menurun (mungkin kerana pergerakannya dikunci kemas oleh barisan pertahanan lawan kerana gandingannya dengan Keitha Mandjou telah menghasil lebih daripada 30 gol musim ini).

Ketiadaan Syamsul Saad yang biasanya mengemudi barisan petahanan Perak amat dirasai. Begitu juga dengan ketiadaan Chui (Ahmad Sharul Azhar) nampak merencatkan lagi bahagian tengah pasukan Perak. Perak memerlukan lebih ramai pemain berkaliber untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain utama kerana cedera, keletihan atau apa-apa lagi – semasa jadual ketat seperti ini.

Apa-apa pun kita harus menantikan keputusan perlawanan pada hari Ahad ini. Semoga pasukan sepak bola Perak mencapai kejayaan. Seperti kata Datuk Jamal Nasir Rasdi yang mengatakan bahawa Perak pernah melakukanya sebelum inu. Kalah di Ipoh 1 – 0 kemudian menang di Stadium Darul Makmur, Kuantan 3 – 1 (penulis lupa, agaknya).

15 September 2005

Dasar materialisme lawan dasar kemanusiaan

Menurut Pat Stack, dalam makalahnya berjudul Anarkisme dan Marxsisme, beliau berkata, “jika, misalnya, rakyat mengalami kebuluran di bawah feudalisme kerana kegagalan tanaman atau malapetaka iklim, umat manusia tidak memiliki jawapan kepada ketidak-sinambungan alam. Namun, di bawah kapitalisme, tidak terdapat sesiapa yang patut mengalami kebuluiran kerana makanan yang mencukupi dihasilkan untuk memuaskan keperluan semua orang beberapa kali. Kapitalisme mempunyai potensi untuk melepaskan kemajuan-kemajuan besar bagi umat manusia. Namun, potensi ini seringkali tidak dicapai kerana kapitalisme menakluki segala-galanya kepada keuntungan, kepada akumulasi kapital.” (Socialist Review, Nombor 246, November 2000).

Jelas Pat Stack tidak memilih kapitalisme sebagai paksi yang mendorongnya menulis tulisan itu. Beliau lebih terarah kepada Marxisme atau apa sahaja ideologi yang bergelar kiri. Begitu juga dengan Hishammudin Rais, ternyata memilih ideologi kiri ini kendatipun telah jauh berlalunya kemusnahan Tembok Berlin. Menurut Hisham, “elit politik dan pemodal Amerika menyedari kekeringan bahan bakar minyak akan mengakibatkan keruntuhan sistem ekonomi kapitalis. Sistem ekonomi kapitalis ini telah bergantung, berkembang dan dijana selama hampir seratus tahun oleh bahan bakar minyak yang murah. Hari ini bahan bakar yang murah ini telah hampir kering. “(Minyak dan gaya hidup, Kolum Doi Mai, Hishamuddin Rais, 29 April 05)

Tidak hairanlah dua orang sahabat penulis terus dihantui dengan ideologi kiri ini – kendatipun telah jauh berlalu zaman kemusnahan Tembok Berlin – kerana masih ada lagi ‘tok guru’ mereka yang terus dihantui dengan ideologi kiri ini. Mereka memuja sungguh-sungguh Hishammudin Rais dan tulisan-tulisannya. Bagi mereka inilah kebenaran yang mereka carikan selama ini.

Penulis pernah berkata kepada mereka bahawa penulis sekarang sudah pro liberal dan tiada di barisan pembangkang yang boleh diharapkan membawa suara rakyat terbanyak. Kiri menggalakkan pemusatan kuasa dan kanan yang mempromosi liberal jika tersalah bawa boleh bertukar kepada monopoli. Jadi mana satu sistem yang boleh membawa keburukan paling kecil dan mana satu sistem yang lebih manusiawi.

Pada zaman pemerintahan regim Soviet di Rusia, regim Pol Pot di Vietnam dan regim Mao Tze Tung di Cina, berapa ramaikah rakyat berkaca mata disiat hidup-hidup, mereka yang rajin membaca disumbat ke dalam penjara dan mereka yang beragama dikejar hingga ke lubang cacing. Pada zaman sekarang inipun masih ada lagi aktivis-aktivis demokrasi ditahan dan dimasukkan ke dalam jerajak-jerajak besi.

Jelas masih tiada lagi contoh negara ‘kiri’ di dunia ini. Seperti negara Islam negara ‘kiri’ mempunyai pengertian yang subjektif. Kriteria-kriteria yang subjektif menyukarkan lagi kita mendefinisikannya secara objektif.

Penulis sudahpun menjelajah ke dunia sebelah ‘kiri’ – kendati masih belum ketemu dengan apa yang dicari. Sudah hilang rasa rindu dan nikmat berbual. Kami sudah berlainan ‘kenderaan’. Namun penulis yakin bahawa arah kami tetap sama.

Kapitalisme yang dikatakan sebagai sebuah sistem yang menyekat keadilan – dengan kewujudan imperialisme, kolonial dan globalisasi – berlawanan dengan sistem komunisme yang dikatakan sebagai penyekat kebebasan – pemusatan kuasa, di mana negara mempunyai kuasa yang lebih terhadap kebebasan rakyat.

Kapitalisme adalah diibarat seorang penungang kuda yang menunggang kudanya menuju kesebuah pekan. Sementara komunisme pula berjalan kaki menuju ke pekan. Andai ada satu ‘badan’ ibarat penunggang kuda yang turun dari kudanya berjalan bersama-sama sambil tangan mereka berdua memegang tali kuda tersebut. Ingin sahaja penulis menjadi penunggang kuda yang kemudiannya berjalan.

14 September 2005

Fokus

Anda ingat lagikah filem Spiderman II. Baru sahaja ditayangkan, agaknya pada tahun lepas. Mungkin.

Spiderman yang dilakonkan oleh Tobby McGuire tersepit antara dua dilema. Sama ada mahu bersama orang yang dicintai [lakonan Kristen Dunst] atau berjuang membantu rakyat termiskin. Akhirnya baru dia tersedar bahwa kuasanya sebagai Spiderman tidak boleh digunakan. Berkali-kali dia mencuba – berlari cuba melompat antara bangunan, menekan spider web di tangan supaya keluar tali – tetapi gagal. Dia terjatuh terhentak sehingga sakit belakang badan dan spider webnya tidak mahu keluar.

Apa yang terjadi kepada spiderman adalah tiadanya fokus. Betapa pentingnya fokus dalam membuat sesuatu perkara. “Spiderman pun tak de kuasa kalau tak de fokus.”

Maka tidak akan dengar lagi Spidey mengucapkan kata-kata ini, “great power, comes great responsibilty.” Ya dia kurang fokus kerana wanita yang dicintainya. Sememang sesuatu yang tidak menghairankan untuk diri kita musnah kerana orang tersayang. Dan tindakan Spiderman mengorbankan [meninggalkan] orang yang disayanginya adalah satu tindakan yang terpuji.

Mungkin pemain sepak bola negara ini kekurangan perkara ini. Mereka mungkin sedikit fokus ataupun tiada fokus langsung. Kekalahan pada Siam 7 – 0 tidak menghairankan. Mereka mungkin boleh bolos dengan lebih banyak lagi jika diukur pencapai skuad-skuad negeri dan kelab di dalam liga proffesional tempatan. Penulis ambil contoh pasukan Perak – penulis meminati pasukan Perak – sejak dua tiga perlawanan baru-baru ini. Mereka kurang fokus dan pemain bagaikan bermain seperti melepaskan batuk ditangga.

Penulis melihat siaran rakaman yang melibatkan pasukan Perak. Dan penulis dapat rasakan pemain-pemain seperti acapkali hilang tumpuan. Penyerang Perak sudah tidak berbisa. Seringkali terlepas peluang.

Perak perlu dibangkitkan semangatnya. Dari terduduk ke dasar liga mereka bangkit kembali. Cuma yang menggusarkan hati penulis ialah ketajaman pasukan Perak sejak kebelakangan ini sudah tumpul.

Malam ini tumpuan rakyat Perak pastilah beralih ke arah Stadium Ipoh. Perlawanan separuh akhir Piala Malaysia Perak menentang Perlis. Perak sudahpun melayakkan diri ke peringkat akhir Piala FA. Mungkinkah kali ini Perak berjaya mencuri satu lagi tempat pada perlawanan akhir. Kita lihat sahaja keputusannya pada malam ini.

Cuma seperti yang penulis sebut tadi bahawa pasukan sepak bola negeri Perak nampak seperti sudah hilang fokus. Tumpuan mereka berada di tempat lain. Penulis mengharapkan fokus mereka akan pulang jua menjelang perlawanan separuh akhir Piala Malaysia menentang pasukan Perlis.

Mungkinkah apa yang terjadi kepada Spiderman akan terjadi kepada pasukan Perak. Berlari cuba melompat antara bangunan, menekan ‘spider web’ di tangan supaya keluar tali tidak boleh. Pengurusan skuad Perak perlu berbuat sesuatu.

12 September 2005

Cinta

Benar cinta tidak kesampaian itu merupakan sebuah cinta yang agung. Seperti kata Hishammudin Rais dalam kolumnya di Malaysiakini.com lewat beberapa tahun sudah. Katanya, “Cinta yang agung adalah cinta yang gagal. Cinta ke jinjang pelamin tidak pernah menjadi satu tarikan untuk dijadikan naratif. Jika si Uda berkasih, bertunang, berkahwin dengan Dara; dan Dara mengandung beranak, bercucu, bercicit, pastilah teater Uda Dara Usman Awang membosankan.

“Romeo dan Juliet tanpa dihalangi percintaan mereka, pasti tidak akan di bangsawankan oleh Shakespear. Babak-babak akhir dalam kisah hidup Jebat adalah kisah cinta mautnya terhadap Dang Wangi. Dr.Zhivago dan Lara, terhalang cinta mereka kerana Revolusi Oktober. Ali dan Nina berpisah juga akhirnya akibat perang.

“Sesekali, seorang suami atau seorang isteri, mungkin teringat juga pada kekasih lama yang ditinggalkan, walaupun kini mungkin hidup dalam bahagia/sengsara berumahtangga. Dalam saat-saat sunyi, hati kecil ingin bertanya, apa yang akan terjadi jika aku berkahwin dengan si anu dan bukan dengan yang ini. Inilah sebahagian keindahan cinta gagal. Berahi cinta yang menolak manusia untuk terus belayar dalam hidup mereka.

“Tiada seorang suami atau seorang isteri atau seorang anak muda yang ingin mendengar/ membaca/melihat percintaan klise yang berakhir dengan anak cucu. Naratif dalam satu percintaan gagal adalah kanon dari semua naratif perjalanan sejarah manusia.”

(Kolum Dot Mai, Janji di musim panas, 13 Disember 2003, malaysiakini.com)

Penulis teringat akan surat Muhamad Yusof kepada Siti Salina dalam novel agong Salina karangan A. Samad Said. Tulis surat itu, "Inah tau kan? Bom pertama yang jatuh di Singapura 8 hari bulan Disember itu membimbangkan saya benar-benar. Saya rasa seolah-olah bom itu jatuh di dalam hati saya sendiri.; saya rasa bom itu hendak memusnahkan Inah. Hati saya tidak sedap saja selepas itu.

"Saya bukan hendak membimbang-bimbangkan Inah. Saya juga bukan hendak menakut-nakutkan Inah. Tapi benarlah peperangan, selalu dan dimana-mana, membawa akibat yang tidak baik saja. Ia merampas segala.

"Ia boleh rampas kasih sayang kita juga." Betul telahan Muhamad Yusaf itu. Akhirnya peperangan merampas segala–galanya. Termasuklah kasih sayang di antara mereka.

Menurut novel itu lagi, "sengaja saya menulis tentang perang, Inah. Dan sengaja saya tulis tentang perang merampas segala, sebab apa yang hendak saya katakan ialah tentang perampasan itu jugalah. Bacalah baik-baik Inah, dan tenangkanlah benar-benar fikiran dan hati Inah bila membaca surat saya ini.

"Inah tahu saya sudah jadi volunteer, kan? Saya sudah cakap kepada Inah dahulu. Sekarang saya akan dihantar ke tempat lain, Inah.

"Saya dan kawan-kawan lain akan dibawa ke suatu tempat yang masih belum diketahui lagi di mana. Khabarnya kami akan belajar menggunakan senjata (tidak lagi belajar cara mengikat bandage dan membalut luka!). Saya dan kawan-kawan lain akan belajar pula cara hendak menggunakan senjata untuk membunuh manusia yang menjadi musuh. Saya akan menjadi perampas kasih sayang orang pula, kalau orang yang saya bunuh itu ada kekasihnya nanti. Dan saya akan dibunuh mereka pula dengan tidak mengira apakah saya ada kekasih atau tidak. Perang suka begitu! Barangkali Inah mengerti sekarang apa yang saya maksudkan dengan perang merampas segala itu.

"Kalau saya pergi Inah janganlah memikirkan saya pergi dengan melupakan Inah.

"Saya pergi hanya memenuhi panggilan masa; saya pergi kerana paksaan keadaan. Saya tidak suka pergi perang; saya tidak suka mendengar tentang perang ataupun melihat perang. Tetapi masa dan keadaan memaksa! Tapi, bila saya pergi, Inah tetap tidak luput dari hati saya, sebab Inah berada di dalam hati saya. Walau apa pun terjadi ke atas diri saya, walaupun, umpamanya - dan siapalah tahu - perang merampas saya dari Inah . . . . "

Benar. Sekali lagi penulis katakan bahawa cinta yang gagal adalah cinta agong. “Hanya saat ini yang akan mengerti, pasti tidak kau menoleh pada waktu indah itu, hanya saat ini mengubah dirimu kasih, meresapi jiwamu yang lara, tidak kuduga mengapa begini berakhirnya episod cinta nan luka, tak mungkin akan bersinar kembali, tak mungkin kau sedari, musnah semua janji yang terucap dalam senyum menusuk di dada dan kini kau telah pergi tinggal ku sendiri.”

Lagu itu kedengaran dihujung telinga penulis. Masih terngiang-ngiang lagi walaupun sudah tidak kedengaran. Penulis faham akan maksud lagu tersebut dan penulis dapat rasakan apa yang mahu disampaikan oleh penyanyi berkenaan.

10 September 2005

Merdeka, merdeka! dan merdeka? II

Penulis hanya menonton sambutan kemerdekaan yang ke 48 dari rumah. Menonton dari kaca televisyen. Emosi juga apabila menonton lintas langsung ke Shah Alam. Beberapa tahun sudah penulis ada di situ. Dua kali. Tak banyak yang penulis sambutkan. Kerana pada hari itu penulis berteman. Penulis puas mendengar canda dan gelak tawanya. Sehinggakan penulis tidak sedar akan sambutan yang diadakan.

Ingatan penulis terarah kepada peristiwa menyambut hari kemerdekaan dengan kawan-kawan. Penuh dengan suka ria. Berjenaka, tidak tahu duduk diam. Penulis amat bersyukur kerana mendapat kawan yang baik dan bertimbang rasa. Penulis tidak dapat bayangkan jika penulis mendapat kawan yang tidak baik dan pentingkan diri sendiri.

Bagaimana mahu menilai erti kemerdekaan dan semangat patriotisme seorang rakyat? Adakah cukup dengan meletakkan banyak bendera di hadapan kenderaan masing-masing, memakai baju bercorak kebangsaan, menyanyikan lagu nasional dengan bersemangat, menonton filem-filem yang berunsur patriotik? Atau adalah lebih baik menjadi seorang rakyat yang kenal erti kemerdekaan dengan lebih mendalam, bukan hanya dengan bersemangat menyatakan apa yang diluar sahaja.

Elemen-elemen penting kemerdekaan jiwa dan rohani dari penjajahan serta kemerdekaan pemikiran dari sebarang penindasan baik yang jelas atau tersirat merupakan suatu perkara yang paling penting yang patut diberi perhatian. Malang sekali bagi sesebuah bangsa jika terus dijajah pemikiran dan jiwanya! Lebih-lebih lagi mereka yang tertindas dalam tidak sedar.

Apa yang penting adalah kawalan ke atas diri anda. Kawalan itu juga merupakan kemerdekaan kepada diri. Namun jangan sesekali memberikan kawalan tersebut kepada orang lain, terutamanya rakan-rakan seperti dalam konteks tadi.

Sebagai manusia yang bebas, kita tidak patut biarkan diri kita dikawal oleh orang lain. Tiada tempat bagi penguasa, majikan, ibu bapa, pensyarah, rakan-rakan atau ulama untuk mengawal kebebasan diri kita. Yang selayaknya mengawal diri kita ialah kita sendiri.
Jika anda berjaya berbuat demikian (seperti yang di atas), maka jeritlah Merdeka sebanyak tiga kali, selayaknya Tunku Abdul Rahman dan seluruh rakyat Malaya yang berbuat demikian pada 31 Ogos 1957.

Manusia akan hanya merdeka jika bila di sana terdapat satu keadaan yang membenarkan mereka bebas dari cengkaman manusia sendiri. Merupakan suatu penghinaan apabila manusia dikuasai oleh manusia. Manusia tidak boleh memerintah manusia. Lumrah dunia - manusia sama sahaja. Mana mungkin ia dijajah oleh manusia itu sendiri. Apabila berlakunya penjajahan jenis ini maka larutan daripada itu tercetuslah juga satu keadaan yang dipanggil kezaliman!

Penjajah manusia yang paling berbahaya pada masa kini ialah duit dan kuasa. Manusia sanggup berkiblatkan duit dan kuasa dan menjadi hamba material keduniaan. Rasuah semakin menjadi-jadi. Ada insan yang melihat rasuah itu rutin dalam hidup.

Sehinggakan ada kes-kes rasuah sengaja disenyapkan dan tidak ada tindakan terhadap mereka – walaupun ada di antaranya mempunyai kes prima facie – , tali barut penjajah ini. Perasuah ini gembira melihat negaranya dicemari oleh penjajah yang memberikan sedikit kepentingan kepada mereka.

01 September 2005

PKM dan kemerdekaan

Penulis ketawa bersendirian apabila mendengar dan menonton sebuah segmen di rancangan berita salah sebuah stesen televisyen tempatan. Ketawa panulis semakin besar akibat dari ungkapan yang dilontar oleh seorang orang yang senior di tengah salah sebuah segmen tersebut. Ungkapan tersebut berbunyi [lebih kurang], “jangan kita diperdayakan oleh filem-filem dan drama-drama di kaca televisyen. Komunis tidak sekemas dan sebaik yang ditunjukkan. Rupa mereka serabai dan mereka tidak sebaik yang ditunjukkan.”

Setahu penulis, keadaan komunis tidak ditunjukkan mereka sopan dan kemas tetapi lebih ditunjukkan sebaliknya. Sebutkan judul-judul filem dan drama terbitan tempatan, kesemuanya mempamerkan wajah hodoh komunis.

Mungkin ada yang menunjukkah perangai positif komunis. Antaranya, filem Paloh arahan Adman Salleh dan filem ini juga mendapat penghargaan di festival Filem Malaysia yang diadakan pada tahun lepas dan Anugerah Skrin yang diadakan tahun ini. Tetapi kebanyakan filem-filem dan drama-drama tempatan dijadikan medan propaganda dan penonton selalu dimomok-momokan dangan perkataan komunis itu sendiri.

Walaupun komunis merupakan suatu ideologi yang lapuk dan PKM ternyata tersalah cara tetapi usaha menutup maklumat sebenar adalah terlampau melampau. Ditakuti ada maklumat sebenar dilindungi.

Chin Peng dalam bukunya mengakui bahawa PKM tersilap kira, “kami akui tentang banyak kesilapan yang menjejaskan hubungan rapat kami dengan rakyat, terutamanya rakyat kelas pertengahan." Chin Peng berkata demikian di dalam bukunya Alias Chin Peng: My Side of History.

Menurut Chin Peng di dalam bukunya, "tulisan ahli sejarah barat mengenai Darurat selalunya memulai kisahnya dengan pembunuhan tiga peladang British di Sungai Siput pada Jun 1948, seolah-olah keganasan bermula di situ. Memang mudah ia dijadikan sebagai permulaan, tetapi ianya tidak tepat dari segi sejarah."

Sambungnya lagi "saya percaya kami telah melakukan kesalahan besar dalam mendraf arahan berkaitan kerana gagal mentakrifkan secara tepat mengenai sasaran-sasaran yang hendak dihapuskan . . . Tetapi ada juga kesalahan-kesalahan lain, yang membayangkan kesilapan dalam pemantauan. Bila arahan disampaikan ke bawah, interpretasi peribadi telah dilakukan, dan berasaskan interpretasi peribadi itu, tindakan yang tidak harus berlaku, telah diambil."

Dia juga mengakui beberapa kelemahan PKM, "Kami akui tentang banyak kesilapan yang menjejaskan hubungan rapat kami dengan rakyat, terutamanya rakyat kelas pertengahan. Kami mengarahkan pasukan kami menghentikan perbuatan menetak pokok-pokok getah, menyita kad-kad pengenalan, membakar bas dan menyerang keretapi awam."

Said Zahari, seorang wartawan dan penulis terkenal, juga Pengarang akhbar Utusan Melayu, dalam memoirnya, Meniti Lautan Gelora, telah menjelaskan mengenai peribadi Chin Peng sebagai seorang yang "amat jujur dan berterus terang".

Dalam pertemuannya dengan Chin Peng di Bangkok seperti yang beliau tulis dalam memoirnya, beliau juga menganggap, "Lebih daripada itu, Chin Peng adalah seorang pemimpin yang berani menerima kritikan, dan berani menerima dan memikul tanggungjawab, seperti semestinya seorang komunis tulen."

Sambungnya lagi, "Aku salute Chin Peng. Dalam perbualan kami sebelum itu, aku sudah pun melihat jiwa keperikemanusiaan Chin Peng semasa beliau bertanyakan khabar isteri dan anak-anakku, sekarang dan sebelum aku dibebaskan. . . Wajahnya kelihatan amat sedih, matanya kemerahan, berlinangan air, Chin Peng menundukkan kepalanya beberapa ketika, senyap sesenyap-senyapnya."

Dan pada hari-hari menyambut kemerdekaan ini janganlah kita lupa kepada Chin Peng, kerana ada juga jasa Chin Peng pada negara. Dia bersama-sama pejuang lain turut serta membebaskan Tanah Melayu dari cengkaman penjajah. Sebagai insan yang pemaaf dan sebagai rakyat Malaysia lebih baik kiranya kita memaafkan kesalahan-kesalahannya. Serahkan pada tuhan untuk mengadilinya, dan tuhan amat berhak menghukumnya [jika dia mempunyai kesilapan].