24 October 2005

Membaca Irama Muzik

Muzik – ini suatu perkataan menarik. Semenarik apa yang dimaksudkannya. Ia juga mungkin magis bagi peminat-peminatnya. Tambah lagi, peminat yang fanatik. Kata mereka, “Hidup tak lengkap, tanpa muzik”.

Muzik seringkali didengar, tidak dibaca. Itu sudah jadi naturnya. Tapi, kadang-kadang, kita patut juga membaca muzik. Membaca lenggok melodinya. Membaca keindahan iramanya, sehinggalah selengkap-lengkap gabungan sebuah muzik dengan kata-kata – lagu.

Muzik yang bagus, menghantar perasaan, berita, emosi dan ilmu bersama-sama. Ya! Tidak perlu cuma dengan perkataan sahaja. Muzik yang mandom, sedikit berelemen gothic, slow nak mampos atau tak de semangat, boleh menunjukkan rasa sedih dan simpati ke atas kesedihan orang lain. Begitu juga dengan muzik yang rancak, laju tak ingat, fast can die dan berelemen grinding, muzik sebegini seperti mahu menunjukkan rasa marah, protes atau berontak ke atas sesuatu perkara dan kadang-kadang perkara itu mungkin diri kita sendiri.

Awal bulan sudah, kita di Malaysia didedahkan dengan alunan piano Maksim. Lagu Bumblebee. Memang dia seorang yang berbakat. Memang dia seoarng yang berperasaan. Chemistry antara dia dengan pianonya terlihat, dengan alunan mantap, mainan jarinya tidak pernah silap memetik bar piano kaler hitam putih. Seperti Vanessae Mae lagaknya. Cuma berbeza sedikit dengan Vanessa, dia tidak bermain biola. Tapi dia tidak menghampakan – itu perkara yang dikongsi bersama dengan Vanesa selain daripada bermain instrumental – bakal-bakal peminatnya.

Muzik yang mereka main ini – Vanesa dan Maksim – saya sendiri tidak tahu jenisnya. Rock? Pop? Metal? Jazz? Etnik kreatif? Itu terpulang pada mereka yang mahir mengklasifikasikan muzik. Cuma yang saya tahu, perasaan mereka jelas sampai pada saya. Dan lagi, yang paling penting saya dapat berkongsi perasaan dengan mereka. Apa perasaannya? Itu mungkin subjektif. Berbeza mengikut persepsi yang mendengarnya. Tapi, saya dapat rasakan mereka bukan sedang bergembira. Mereka juga bukan dalam keadaan sedih. Dan paling pasti mereka tidak memberontak. Yang dapat saya rasakan, perasaan mereka berkecamuk. Bercampur baur. Mungkin marah. Mungkin juga tidak puas hati. Mungkin membayangkan keadaan depress yang mereka alami.

Di Malaysia, selain Okestra RTM cuma sebilangan sahaja artis yang berminat dengan muzik jenis ini. Muzik instrumental. Contoh yang paling baik saya rasa, ialah Jari dan Moram. Malang nasib mereka, muzik mereka tidak diterima oleh masyarakat di sini. Muzik mereka masih eksklusif.

Persoalannya sekarang, kenapa perkara macam boleh terjadi? Bila kita buat satu muzik untuk sampaikan perasaan kita, masyarakat sendiri tak dapat terima muzik macam itu. Sedangkan bila orang luar buat, mereka lebih dapat sambutan lagi. Agaknya kenapa? Mungkin masyarakat kita bukan ataupun masih belum lagi dapat mengamalkan tabiat membaca muzik. Bukan setakat dengar, tapi lebih lagi – baca dan faham! Seperti membaca buku, apa yang tertulis – tulisan, abjad, perkataan, huruf - adalah sesuatu yang cuma fizikalnya nampak, tapi tanpa menganalisa, menghayati, berfikir serta berpolemik dalam fikiran, pembaca cuma melihat apa yang tertulis – abjad-abjad yang tersusun menjadi ayat, seterusnya ayat-ayat yang tersusun menjadi paragraf dan dari paragraf-paragraf ini tercipta satu karangan - secara lahiriah sahaja.

Sama juga halnya dengan muzik. Muzik bukan setakat untuk didengar. Cukup sedapnya sahaja, kira dah boleh layan. Muzik sepatutnya dibaca, difahami apa perasaannya, apa yang mahu disampaikan oleh komposer tersebut.

Pernah dengar lagu Masirah nyanyian M. Nasir? Apabila mendengarnya, saya berkongsi rasa sedih dan kadang-kadang, rasa marah, dendam. Tambah-tambah lagi, dengan kekuatan liriknya berkenaan perjuangan rakyat Palestine demi pembebasan. Lagi itu cukup ramuan. Cuma orang-orang yang enggan membaca muzik sahaja merasakan lagu tersebut kosong.

Sampai bila agaknya, kita cuma mahu jadi pendengar. Memang agaknya, itu realiti masyarakat sekarang, seringkali mengambil yang luarnya sahaja. Dan mereka cukup puas hati dengan semua ini. Namun, mungkin mereka kurang sedar, bunga plastik yang cantik, tidak punyai nilai-nilai estetika tersendiri. Melihat sebenarnya adalah untuk merasai. Bukan setakat di mata, tapi terus ke hati. Bagai ungkapan, “dari mana datangnya cinta, dari mata turun ke hati”.

Kefahaman tentang muzik bukan setakat mengetahui apa jenis muzik tersebut, malahan mengetahui juga perasaan yang mahu dibawa oleh sesuatu muzik. Immanuel Kant, seorang tokoh zaman enlghtenment Eropah, pernah mengulas mengenai muzik. Katanya, “Kesan muzik adalah sangat kuat, sangat cepat, ikhlas dan tidak pernah menipu. Manusia telah mendendangkan muzik sejak beberapa abad yang sudah tanpa mengambil kira; kandungannya yang tersirat, mereka enggan untuk mengiktiraf, sesuatu konsep yang abstrak dari yang tersurat, yang terdapat dalam sesebuah muzik”.

Sama ada kita mahu terus mendengar muzik, itu terpulanglah. Tapi sekali mendengar, pastikan turut membacanya.

*dipetik daripada majalah GB Februari 2004

20 October 2005

Alam Baqa

Pada ketika ini, televisyen sedang sibuk memutarkan tayangan membaca al-Quran. Dilihat stesen televisyen ini seakan berlumba-lumba antara satu sama lain. Tetapi hakikat di sebalik penayangan itu ada tertulis sesuatu. Isteri PM pergi buat selama-lamanya.

Innalillah…

Kehilangan bagi sesetengah manusia amat perit diterima. Namun, yang pergi tetapkan pergi. Kehilangan itu menjadi ujian bagi kita yang masih hidup. Usah kita selidiki apa terjadi pada alam selain daripada alam fana ini. Bukan kuasa kita. Yang mengetahuinya Allah yang maha mengetahui.

Pemergian Datin Seri Endon Mahmood pasti akan dirasai oleh segenap lapisan rakyat. Tak kiralah rasa sedih, bersimpati atau gembira. Bagi penulis, yang hidup akan menghadapi ujian dan ujian yang paling besar sudah tentulah Pak Lah. Mana mungkin beliau gembira kerana isteri yang paling dicintainya pergi buat selama-lamanya.

Setelah mendapat tahu berita dari MJ tentang berita kematian anak saudaranya (MJ lebih banyak menggunakan slanga Kedah, anak penakan) yang masih tidak sempat diberikan nama. Awal hari ini penulis terkejut mendengarkan berita kematian isteri kesayangan Pak Lah.

Anak Kak Max itu dilahirkan tidak cukup bulan dan anak itu juga masih belum sempat bermesra dengan dunia yang serba kacau ini.

Pemergian di kala umat Islam sedang sibuk beribadah – puasa – menandakan tertumpahnya rahmat ke atas roh mereka, mungkin.

19 October 2005

Machiavelli

Nicollo di Bernardo Machiavelli (1469 – 1527) -- ada lumpur terpalit di atas nama tersebut. Lumpurnya busuk, kotor dan pekat. Dia menjadi contoh buruk mereka yang baru mula berjinak-jinak dengan politik kotor matlamat menghalalkan cara.

Ungkapan berkenaan – matlamat menghalalkan cara – menjadi ungkapan sinonim kepada sang pemimpin yang bertindak sewenang-wenang memimpin bagai bersultan di mata, beraja di hati. Tiada contoh yang baik dinyatakan pada dirinya. Inilah malang menjadi seorang insan bernama Machiavelli, tiada sisi baik pada dirinya melainkan sisi buruk.

Principe II (Pemimpin) atau Politik Kekuasaan menjadi semacam rujukan utama bagi mereka yang berhujah tentang tori buruk Machiavelli dalam ilmu politik moden. Kelibatnya sama seperti Adam Smith yang membentuk teori ekonomi moden – kapitalisme.

Namun begitu, ramai yang tidak tahu tentang sebuah lagi karyanya – iaitu selepas Principe II. Karya itu mengesahkan nilai-nilai baiknya mempromosi apa yang dipanggil sebagai politik kerakyatan ataupun sistem pemerintahan republik. Karya tersebut

“Sekelompok rakyat terpaksa mempertahankan diri. Mereka memilih seorang yang gagah-berani menjadi pemimpin, lalu menjadi raja. Jika sesuadah itu mereka memilih raja lagi, maka yang terpilih biasanya orang yang lebih bijaksana, bukan yang sekedar gagah berani.

“Ketika rakyat menjadikan jabatan raja itu turun temurun, maka timbullah kerajaan (principato). Namun mutu keturunan raja sering merosot, mungkin kerana keturunan itu tidak perlu lagi berjuang seperti pendahulunya. Raja pengganti itu tahunya cuma menempatkan diri di atas semua orang, sehingga ia sering dibenci oleh rakyat, lalu ditakuti, lalu dilawan. Pemimpin perlawanan itu menjadi tiran, biasanya seorang yang pada awalnya justru pembela pihak yang tertindas.

“Tirani memancing persengkokolan. Akibatnya timbullah perlawanan yang dipimpin oleh beberapa orang dari kalangan atas, yang tidak mau kehormatan mereka diinjak. Hasilnya adalah pemerintahan aristokrasi. Namun jika jabatan mereka turun temurun, maka lagi-lagi mutu keturunan mereka akan merosot menjadi oligarki.

“Jika rakyat, yang melawan tirani dan oligarki, tidak sudi menyerahkan kekuasaan kepada segelintir pemimpin, maka akan muncul demokrasi. Biasanya, demokrasi akan bertahan selama generasi pejuang tadi masih hidup. Sesudah itu tak ada lagi pemimpin yang diakui dan hukum pun diabaikan. Timbullah anarki.

“Manakah yang memadai dari dua kelompok pola pemerintahan ini? Ternyata tak satu pun! Kelompok yang mengarah ke kiri tidak memadai kerana biasanya berumur pendek. Kelompok yang mengarah ke kanan juga tidak, karena dampaknya yang merusak.

“Yang memadai hanyalah ramuan dari keenam pola tersebut. Oleh karena itu peletak dasar suatu negara yang bertanggungjawab tidak akan memakai hanya salah satu pola, melainkan merancang suatu pola yang mengandung berbagai unsur dari keenam pola. Dengan demikian berbagai unsur yang berbeda-beda itu akan saling mengontrol satu sama lain. Contoh: Republik Roma (509 - 27SM).”

Berikut merupakan sebahagian kata-kata daripada buku Politik Kerakyatan Menurut Niccolo Machiavelli (Discorsi). Buku ini adalah daripada siri Seri Kembali Ke Dasar terbitan Kepustakaan Populer Gramedia (KPG). Buku ini juga antara lainnya terkandung pendapat Machiavelli daripada karyanya yang bertajuk Discorsi, iaitu karya yang dihasilkan selepas buku The Prince.

15 October 2005

Ralat II

Maaf pelakon yang memegang peran sebagai Angelie dalam filem Janji Joni ialah Mariana Renata bukan seperti yang disebutkan sebelum ini -- Maria Renata. Harap maklum.

12 October 2005

Janji Joni

Chet Baker merupakan seorang pemuzik jazz – peniup trumpet dan flügelhorn – yang terkemuka. Beliau meninggalkan legasi merupakan sebuah buku autobiografi untuk tatapan peminat-peminatnya sebelum beliau menghembuskan nafas yang terakhir. Pada tahun 1988, Baker meninggal dunia selepas terjatuh daripada sebuah tingkap bilik hotel di Amsterdam selepas mengambil heroin dan cocaine.

Autobiogafi yang penulis maksudkan itu bertajuk As Though I Had Wings: The Lost Memoir yang diterbitkan sebagai sebuah filem adaptasi oleh Miramax. Filem sejenis ini – berbentuk autobiografi – mendapat sambutan yang menggalakkan di panggung-panggung besar di seluruh dunia. Dan seringkali juga penulis saksikan filem-filem Hollywood mendapat resepi sebegini.

Di negara ini, filem-filem yang sebegini jarang dibuat oleh pengusaha-pengusaha filem tempatan, tidak tahu penulis apa sebabnya. Adakah kerana kurang mendapat sambutan, sekatan terlampau banyak atau tiada penulis lakon layar yang berkemampuan membina suatu naratif yang berdasarkan autobiogafi ini?

Janji Joni memaparkan sebuah autobiografi seorang budak penghantar roll filem ke bioskop (pawagam). Filem ini memaparkan naratif dalam sehari bagaimana Joni mahu mengotakan janji-janjinya seperti yang dia lafaz ketika mahu mula berkerja.

Sebuah filem arahan Joko Anwar, dibintangi oleh Nicholas Saputra (Joni), Maria Renata (Angelie), Rachel Mariam (Voni) dan Surya Saputra (Otto). Filem yang bercorak autobiografi ini adalah suatu naratif simple, tetapi tetap filem ini menarik.

Teknik filem – sinematografi yang menarik, penggunaan kamera yang diutilitkan, kekuatan skripnya, bakat yang tinggi oleh pelakon-pelakonnya, sistem lighting yang baik, boom yang berkesan dan sudut-sudut fotografi yang cantik – Janji Joni ini sememang baik. Maka tidak hairanlah filem ini memenangi Penghargaan MTV bagi filem terbaik dan akress terbaik bagi tahun ini, tahun 2005.

Penulis kagum dengan babak panjang yang ditampilkan di dalam filem itu. Beberapa adegan babak panjang nyata memerlukan lakonan yang mantap dari para pelakonnya. Sebagai contoh, babak panjang ketika Joni sedang mencerita penonton pawagam memiliki beberapa tabiat.

Babak panjang yang dilakukan mengkehendakkan seluruh orang di dalam pawagamsupaya berlakon. Pengarah hendaklah mengawal jumlah penonton yang ramai. Ini (tanggunggjawab pengarah) boleh dikurangkan dengan adanya pelakon-pelakon yang berbakat.

Penulis tidak mahu tergolong dalam lingkungan orang-orang yang dijeniskan Joni. Penonton perfectionist, penonton spoiler, penonton berpacara, penonton tidur, penonton kritikus dan penonton-penonton lain antara mereka yang wujud di pawagam, menurut kata Joni. Penulis tidak mahu dikatakan penonton spoiler disebabkan memberitahu sinopsis atau ending filem ini.

Yang penulis boleh ceritakan ialah wajah yang menarik Maria Renata. Keanggunan benar menyentuh jiwa penulis. Tanpa perlu bersolek banyak wajahnya mampu untuk kelihatan cantik.

*** ½ bintang untuk filem menarik Janji Joni ini. Dan **** bintang untuk penampilan Maria Renata.

11 October 2005

Gol & gincu

Seorang pengarah teater muda pernah berkata kepada penulis. Katanya, “kelakuan pelakon yang kita boleh agak atau lain-lain (plot, teknik kamera atau skrip), akan menyebabkan sesebuah filem itu menjadi kurang menarik.”

Pengarah muda itu juga berkata bahawa pada setiap 15 minit—paling kurang--mestilah mempunyai kejutan.

Gol & gincu mempunyai plot yang boleh dijangka tetapi pengarahnya berjaya membuat kejutan – lebih kurang – pada setiap 15 minit. Juga Bernard Chauly – selain berjaya membuat kejutan pada setiap 15 minit – berjaya menampilkan sebuah filem yang tidak konvesional di segi teknik pembuatan filem dan berani membuat eksperimen terhadap skrip – skenario – filem berkenaan.

Ya, cerita ini mungkin cabon copy filem Bend It Like Becham. Cuma filem ini menampilkan naratif yang berpandukan permainan futsal, manakala Bend It Like Beckham dipandu oleh sekitar permainan bolasepak.

Ada yang mengatakan filem ini adalah berdasarkan filem Legally Blonde, di campur pula dengan filem Mighty Duck (dan sewaktu dengannya). Kata-kata ini boleh diterima, kerana filem Gol & Gincu mempunyai elemen-elemen filem yang penulis sebutkan tadi.

Isu sumbang mahram di bangkit di dalam filem ini. Penulis rasa seperti melihat Bend It Like Becham kerana isu itu. Dalam Bend It Like Beckham seorang saudara – maafkan penulis, lupa, pak cik saudaranya mungkin – pernah melakukan sumbang mahram terhadap seorang kanak-kanak. Di dalam Gol & Gincu, Uncle Izam (Zahim al Bakri) melakukan sumbang mahram dengan Jijie (Sharifah Amani) dan ingin melakukannya terhadap Emi.

Satu lagi adegan yang mengingatkan penulis dengan filem Bend It Like Beckham, ialah ketika montaj berlatar belakangkan sebuah lagu tentang hubungan yang intim antara Zie dan Shasha. Nampaknya isu percintaan seseama jenis pula mahu diangkat di sini. Penulis teringatkan Bend It Like Beckham adegan pebualan, antara watak utama perempuan (maaf, terlupa akan namanya) dengan seorang sahabat (atau saudaranya?) lelaki. Sahabatnya itu menaruh hati kepada sahabat lelakinya yang lain.

Mereka yang berada dibelakang filem ini sememangnya kita tahu kuat memperjuangkan ‘girl power’—Marina Mahathir, Bernard Chauly, Rafidah, Celina dan Tini. Maka tidak hairanlah filem ini turut juga memperjuangkan hak kaum perempuan.

Ingin penulis petikkan, daripada seorang sahabat penulis – turut mempunyai blog (lama sebelum penulis lagi) – Mad Jan. Beliau berkata,“yang paling aku suka, Gol & Gincu memberi definisi baru pada kalimah "cool". Watak hero tidak digambarkan macam watak hero Yusof Haslam.

“Watak Reza… digambarkan dengan hobi suka membaca. … Masa Reza balik rumah, bilik dia digambarkan penuh buku.

“Dan oh ya, Reza naik basikal. Bukan motor besar ya. Basikal.

“Untuk jadi hero yang cool, tidak perlu suka pergi disko dan naik motor besar macam hero Yusof Haslam. Suka baca buku dan naik basikal pun boleh cool juga.

“Kita selalu bising anak remaja mudah terpengaruh dengan filem. So, kita patut buat filem yang menggambarkan "suka membaca" sebagai cool. Suka bersukan (futsal) pun cool. Kalau anak remaja mudah terpengaruh dengan filem, then Gol & Gincu boleh pengaruh mereka untuk membaca dan bersukan. Cool!”

(Mad Jan, Rabu 24 Ogos 2005, Gol & Gincu)

Penulis ingin meminjam kata-kata Mad Jan pada awal artikelnya (artikel yang sama) untuk menyimpulkan ulasan yang penulis tulis ini. “Predictable, ya, tapi tak boring.”
*** bintang untuk filem ini.
Happy birthday Analog. Sudah genap 5 tahun kau wujud. [analog lama] – pergi ke entry lama.

10 October 2005

Selamat berpuasa dunia…

GGPP

Penulis tidak kisahkan sama ada filem ini menyindir mana pihak atau tidak. Yang penulis kisahkan ialah cara lakonan Linda Nanuwil dan Nora Danish. Kepala hotak penulis rungsing memikirkan lakonan keras lagi kaku Linda dan gerak yang sudah boleh dijangka oleh Nora Danish.

Garapan Aziz M. Osman kepada filem ini kurang berkesan jika mahu dibandingkan dengan garapannya di dalam GGPR. Di dalam GGPR penulis boleh saksikan dengan jelas tentang perkara yang hndak disampaikan.

Plot yang bercelaru – bukan non linear yang disengajakan -- dan lawak yang kurang menjadi oleh Saiful Apek dan bapa Fatimah yang pekak jelas merencatkan apa yang mahu disampaikan oleh Aziz M. Osman. Tetapi peran yang dilakonkan oleh Afdlin Shauki (Awin) berjaya menyelamatkan filem ini sedikit sebanyak.

Peran sebagai bekas penyanyi rock dan setia bersama gitarnya – hinggalah ke adegan Sheera (Erra Fazira) mahu dirogol atau disamun, ketika itu tampil Awin mahu menyelamatkan Sheera dan dia menggunakan gitarnya – membawa pendengaran penulis kepada soundtrack-soundtrack yang pasti akan memastikan penulis berjaga sehingga habis filem.

Mainan gitar Awin yang bersahaja diselang seli dengan lagu-lagu seperti dari SweetCharity dan sebuah lagu yang penulis pernah dengar di dalam soundtrack filem arahan Quentin Tarantino, Kill Bill (Volume 2).

Penulis benar-benar kecewa dengan Aziz M. Osman. Penulis mengharapkan sesuatu yang lebih daripada GGPR. Tetapi kelahiran GGPP benar-benar mengecewakan penulis.

Benar filem berkenaan menyindir sesetengah pihak. Malangnya Aziz M. Osman tidak dapat menyampaikannya secara berkesan. Mungkin GGPP memerlukan narator yang duduk di dalam satu lapis naratifnya.

Melihat daripada naratifnya yang biasa, sindiran berjaya tetapi bagi penulis tidak begitu menikam – sindiran tidak bersungguh-sungguh, main-main pun main, lakonan yang kadang kala overacting dan boleh di duga dan satu dua lawak Saiful Apek yang sudah biasa kita tonton menjadikan filem ini hanya filem yang memuaskan di mata penulis – kadang kala membosankan.

Overall – kalau mahu ditanya berapa bintang yang penulis akan bagi -- ** ½ terutama untuk kesungguhan Aziz M. Osman, tetapi malangnya kesungguhan itu tidak menampakkan suatu usaha yang maksimum dari pengarahnya.

Tidak seperti GGPR, GGPP jelas jauh mengecewakan – ramalan penulis tidak tepat!