Oleh: MSK
Masa aku kecik-kecik..(belum bersunat lagi), ayah aku beli radio transistor. First time dengar radio kat rumah, dan masing-masing berebut nak dengar radio.Masa tu sekitar tahun 1965-66….Tapi aku tak termasuk dalam perebutan itu sebab aku kecik lagi. Bila kakak aku cari stesyen yang pasang lagu A. Ramli, Sanisah Huri, A. Rahman Hassan…bapa aku merungut. Dia kata lagu entah-apa-apa. Bising!! Dia cuma layan lagu R. Azmi atau lagu P. Ramlee. Emak aku pulak diam saja..tak mau dengar apa-apa. Tapi pukul 7.30 malam, yang tu giliran dia dengar radio. Rancangan ‘Kebun Pak Awang.”
Kehidupan masa tu cukup simple. Semua orang tidur cepat. Pukul 9-10 malam dah tidur. Mungkin ada yang bangun tengah malam sembahyang Tahajud. Hasilnya, anak-anak ramai. Masa tu, pemikiran generasi bapa aku ialah, anak-anak adalah harta. Itu sebab masing-masing berlumba untuk mendapatkan anak yang ramai. Kalau isteri tak boleh beranak, depa cari isteri baru. Seorang bapa ada anak kadang-kadang sampai berbelas-belas.
Kalau ikut IC, bapa aku lahir tahun 1926…tapi dulu orang suka tipu tarikh lahir sebab nak dapat kerja dengan orang putih lepas perang jepun. Nak kerja sebagai Special Constable masa zaman orang putih, mesti cukup 18 tahun. Jadi depa tipu tarikh lahir. Masa tu, nak kahwin bukan ada sijil kahwin, dan bila beranak pun bukan ada sijil beranak. Cuma sekarang, sijil kahwin kena bawa macam Kad Pengenalan. Dan ada sijil beranak yang tak ada nama bapa pun jadi isu besar.
Bapa aku tergolong dalam generasi yang dipanggil GI. Generasi yang lahir sebelum perang dunia ke2. Ini adalah generasi yang merasai segala pahit maung peperangan. Dan apabila dapat tanah 2-3 ekar untuk bercucuk tanam, dapat isteri dua tiga orang dan dapat anak 10-15 orang, kehidupan mereka sudah sempurna. Nak apa lagi?
Golongan ini jugalah yang masih mengundi Umno. Kalau tak ada Umno…orang Melayu masih makan ubi kayu. Nak suruh mereka berubah? tok sah harap la. Hangpa tau apa? “Hangpa tak rasa apa yang aku rasa.” Itu jawapan mereka.
Tapi generasi ini sudah semakin pupus. Kebanyakan mereka sudah hancur ditelan bumi, yang tinggal hanyalah nama mereka dalam Daftar Pemilih SPR.
Bagi anak-anak yang lahir selepas peperangan, generasi ini dikenali sebagai Boomers. Dia tidak merasai peperangan tetapi merasai liku-liku menuntut kemerdekaan. Mereka sudah mula menyanyi dan berpuisi dan kehidupan mereka ialah membina keluarga dengan hasil-hasil peninggalan perang. Kehidupan mereka masih lagi dipengaruhi oleh ibu-bapa yang mengharungi zaman perang. Dan apabila Malaysia mendapat kemerdekaan dari British pada tahun 1957, maka lengkaplah perjuangan dan kehidupan mereka.
Selepas merdeka, mereka mula berhibur dan lahirlah zaman emas muzik dan filem Melayu. Lagu-lagu P. Ramlee, Rafeah Buang, Sanisah Huri, Jefridin dihafal oleh hampir setiap anak muda.Generasi Boomers ini tidak akan berubah…baik dari kegemaran mereka terhadap muzik , mahupun kegemaran mereka terhadap politik. Pergilah ke mana-mana pusat karaoke, yang tua-tua masih lagi menyanyi lagu-lagu 60an. Hangpa bawa la rock, hip-hop atau pop…depa buat tak tau saja. Silap-silap, hangpa kena kutuk.
Sekarang, generasi boomers ini kalau masih hidup, yang paling tua sudah berumur 65 tahun. Dan yang paling muda sudah menjangkau umur 53 tahun. Ini generasi pasca Perang Dunia Ke2 hingga Merdeka. Dan semua yang tergolong dalam generasi ini masuk Saluran 1. Hangpa nak cakap pasai Perubahan..Reformasi…tak payah buang masa.Generasi ini majoritinya dalam Umno. Nasib baik sekarang Khairy yang jadi Ketua Pemuda…sebelum ni, semua Ketua Pemuda depa terdiri dari orang tua. Tapi tak semua Boomers ini duduk dalam umno, kerana sudah ramai dari mereka yang menyertai Pas bila pencen. Dan kaki karaoke, masuk PKR.
Kemudian tiba generasi pasca Merdeka, macam aku.Ketika anak-anak muda yang terdiri dari generasi Boomers pada masa itu tergila-gila dengan seluar ketat dan kebaya yang nampak tetek, aku belum baligh. Itu trend anak muda tahun 60an. Orang-orang tua dari generasi GI tak habis-habis berceloteh dan merungut. “apa lah nak jadi dengan anak muda kita. Pakai seluar macam sarung nangka. Terkangkang sikit…koyak seluar.” Masing-masing berfikir…apalah nak jadi pada generasi akan datang? Nasib baik aku bukan anak muda masa tu…kalau tidak, aku pun kena kutuk.
Budak-budak macam aku masa tu cukup disayangi oleh atok dan opah masing-masing. Bentang sejadah kat masjid dapat dua kupang. Pergi cari kayu api, dapat tiga kupang. Manakala yang muda-muda, ada duit beli Vespa.
Menjelang 70an, aku dah akil baligh. Masuk pulak sekolah orang putih..fuiyo. Ketika bapak aku masih bernostalgia dengan irama 50-60an, aku dah mula layan Deep Purple, Rolling Stone, Scorpion, Janis Joplin, Santana. Teruk aku kena kutuk dek bapak aku. “Apa la nak jadi pada generasi akan datang?”
Generasi aku dipanggil Generasi X. Mereka yang lahir selepas Merdeka dan berakhir sekitar 1976-77. Ini generasi hippies, generasi ganja, generasi woodstock. Ini generasi rebel..generasi yang memberontak dan tidak pernah mengalami zaman peperangan. Tetapi mengalami zaman rasuah dan penyelewengan.
Ini juga generasi yang bangkit menentang kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah.Dan generasi X sentiasa mempunyai konflik dengan generasi Boomers.
Generasi X atau generasi rebel ini ramai terdapat dalam PKR. Itu sebab PKR tak pernah aman. Dan PKR tak akan aman kerana itu sudah sikap Gen X.Dan lebih menerukkan keaadan apabila PKR dikuasai oleh sebilangan kecil Boomers.
Awal 80an, lahirlah generasi Y. Dan kalau dulu, generasi GI menyayangi generasi X dan berkonflik dengan generasi Boomers, sekarang tiba masa generasi Boomers berkonflik dengan Gen X dan menyayangi Gen Y. Bapa aku lebih sayang kepada anak aku daripada aku. Dia merasakan, cucu dia lebih diharapkan daripada aku. Kalau dulu dia kehulu kehilir dengan Vespa, sekarang dua sudah kemasjid dengan Honda Cub. Generasi GI…nak makan pun kena suap. Kalau hidup lagi la.
Gen Y menghadapi masalah dengan Gen X. Satu hari, anak aku beli seluar jeans. Aku pun beli seluar jeans. Tapi seluar aku tutup pusat manakala seluar dia nampak punggung. “apa la nak jadi kat generasi ni masa depan?” aku pulak bertanya soalan yang pernah ditanya oleh atuk aku kepada bapak aku. Dan soalan yang sama juga ditanya oleh bapak aku kepada aku. Dan sekarang aku bertanya kepada anak aku. 20 tahun lagi, aku percaya anak aku pulak akan bertanya soalan yang sama kepada cucu aku.
Anak-anak aku tak reti main kondang kondi, memikat burung atau beranyut Sungai Batang Padang. Anak-anak aku cuma duduk dirumah, tengok komputer, tengok Harry Potter. Bila aku pasang lagu Highway Star atau Stormbringer, depa tutup telinga dengan earphone…dengar lagu Black Eyed Peas. Peeeerghh!!
Anak perempuan aku pulak lain macam. Tiap-tiap hari dok layan Raihan, Rabbani. A big conflict in my family. Generasi ini tak ramai dalam umno, Pas atau PKR, tapi sama ada sudah dikuarantinkan di PLKN, ataupun menuntut di Pusat Serenti. ataupun masih merempit kat highway.
Macam mana pulak dengan mereka yang lahir selepas 1995? Yang ini dikenali dengan Gen Z. Ini lagi satu bala.
Umur 10 tahun dah bercinta. Ketika aku masih lagi dengan Ericsson T250, depa dah cakap pasai blackberry. Ketika aku berumur 16-17 tahun, masa tu baru dapat curi-curi tengok majalah Playboy, sekarang depa dah tengok MP4 dalam handphone. Depa sendiri berlakon.
Astaghfirullahilazim!!!
No comments:
Post a Comment