30 August 2007

MERDEKA

Manusia lebih memandangkan benda yang zahir dilihat daripada benda yang tidak terzahir. Cukuplah bendera terbesar, kek berhiaskan warna bendera Malaysia, terpanjang, bendera dipasang dipohon kelapa dan hiasan cantik berasakan warna-warna bendera Malaysia di rumah-rumah dan bangunan-bangunan.

Cubalah perhatikan kemampuan anak bangsa Malaysia mencapai kedudukan tertinggi dalam pelbagai bidang, nilai-nilai intelektual sebenar anak bangsa dan lain-lain kemampuan yang tidak boleh diukur dengan mana-mana tahap ketinggian, kebesaran, kejauhan atau kecantikan-kecantikan yang terzahir.

Tanya pada diri kita adakah cukup rasa merdeka kita dengan mengibarkan bendera sahaja. Atau belayar sekeliling dunia. Atau berenang di lautan luas. Atau menciptakan sajak bertemakan tentang hari Merdeka. Atau menyanyikan lagu-lagu patriotik.

Dan jangan kita lupa hari ini, bahawa ada seorang lagi yang lebih penting jika hendak dibandingkan dengan Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir.

Datuk Onn bin Jaafar. Pemimpin yang kerap kali disisihkan pada hari yang mulia ini.

Datuk Onn adalah pemimpin perintis kemerdekaan, cuma beliau mati dalam pihak opposisi. Beliau juga telah mendepani masanya, mengilhamkan bahawa penting wujudnya satu parti pelbagai kaum, UMNO tetap dengan parti berteraskan satu kaum, tidak bersetuju dengan apa yang beliau cadangkan.

Langsung beliau keluar dari UMNO, menubuhkan parti pelbagai kaum -- parti IMP (Independence Malayan Party).

Beberapa orang lagi lagi yang patut kita ingat ialah Chin Peng, Rashid Maideen, Abdullah CD dan Shamsiah Fakeh. Mereka berjuang, tetapi dengan cara yang agak berlainan.

Bagi yang sudan terkorban kita hadiahkan al-Fatihah.

Bagi mereka yang lahir pada zaman pasca 31 Ogos 1957 berhati-hatilah, kalau dulu penjajahnya berkulit putih, tetapi kini, penjajah zaman kini menyerupai muka-muka kita.

Selmat Hari Kebangsaan ke 50!

No comments: