10 May 2005

Dari Labirin Politik Khalid Jaafar

Politik menurut Khalid bagaikan labirin. Mulla Sadra pula jadi sanjungannya dalam membahaskan isu berkenaan Islam. Pandangannya terhadap Amerika cukup berbeza. Dan pegangannya kepada perubahan amat jelas.

Pertama kali berjumpa dengan beliau, ialah di pejabat Siasah. Suatu detik yang pasti saya tidak akan lupakan - berjumpa dengan salah seorang penulis yang saya kagumi. Bukan kerana cara beliau menulis, tetapi kerana pegangannya yang jelas dan berani, serta kepelbagaian sumber rujukan yang dibuat sebelum mula menulis sesuatu karya. Dari sumber Greek, Yunani dan Roman purba, hinggalah kepada sumber al-Quran, hadis dan ulama-ulama besar Islam, beliau seperti tidak pernah tinggal satupun daripada bahan bacaan yang ada dalam dunia ini. Dan tabiat membacanya ini benar-benar menggalakkan saya - membacalah untuk menulis dengan baik.

Buku Tumit Achiles yang baru sahaja terbit, merupakan sebuah himpunan karya-karya dari kolumnya yang pernah disiarkan di Buletin Keadilan dan majalah Siasah. Sentiasa, kolum-kolumnya pedas. Sinis. Dan mengundang pembaca untuk berfikir dengan lebih lanjut.

Buku ini dipisahkan kepada lima bab. Kesemua bab-bab tersebut mengcakupi permasalahan berkenaan agama, politik, terrorisme dan perang, isu Anwar lawan Mahathir dan esei-esei lain yang berkaitan dengan isu semasa.

Benar kata pengantar, Eddin Khoo nampak jelas dengan tulisan Pak Khalid. "Sikap romantis dan idealis (yang sangat perlu kepada seorang pemikir) wujud di hampir kesemua esei yang dimuatkan dalam 'Tumit Achilles' ~ hasil tulisan singkat Khalid Jaafar." Beliau memang seorang yang bercita-cita tinggi, meluahkan apa yang dilihat dan menegur apa yang beliau rasakan tidak selesa.

Dari lebih 60 buah artikel, Labirin Politik merupakan artikel yang paling saya minat. Keupayaan beliau menulis, menentang apa yang ada disekelilingnya - termasuk arus Reformasi. Benar-benar saya kagumi. Jelas dalam artikel tersebut pegangannya, "begitupun seorang penulis, meskipun orang parti tetap ada setitik dua darah anarkis yang mengalir dalam tubuhnya. Dia tidak akan jadi seratus peratus kompromis. Dan dalam pimpinan Keadilan semua mengetahui bahawa pendirian saya dalam hal-hal tertentu lari dari pendirian majoriti pimpinan parti. Tentang negara Islam, hudud, persamaan gender, pendirian saya tidak popular. Saya juga mendedahkan ketidakseimbangan kenyataan BA dan NGO tentang Iraq. Bukan sekadar saya suarakan dalam mesyuarat-mesyuarat tertutup bahkan saya tulis dalam kolum saya 'Amat Amati'."

Ya! Dalam buku ini juga terdapat beberapa artikel yang menunjukkan pandangannya tentang isu perang di Iraq. Ya! Memang pandangannya agak lari dari arus perdana. Arusnya kurang popular. Sekali baca pasti akan rasa pandangannya tidak berasas. Namun baca sahaja mungkin tidak cukup. Tulisannya harus diselidiki dan dianalisis benar-benar. Apabila fikiran sudah mula menguasai emosi kembali, maka pada ketika itu pertimbangan yang adil boleh diberi kepada tulisannya. Kadang-kadang ada tulisannya yang pantas kita akan bagi kebenaran.

Buku ini secara keseluruhannya membenarkan kata-kata Robert Down, bahawa buku sebenarnya suatu benda yang bernyawa, bertenaga dan punyai kemampuan menghasilkan ledakan. Robert Down mengulas lebih lanjut mengenai ciri istimewa sebuah buku. Katanya buku bukan suatu benda jinak dan tidak bertenaga. Tetapi buku sebenarnya menjadi semacam duri dalam daging yang mampu hidup bersemangat, mempunyai kuasa untuk merubah keadaan. Baik menjadi suatu keadaan yang lebih baik, mahupun menjadikkan keadaan tersebut jadi lebih buruk lagi.

Inilah yang dikatakan oleh penulis dan pejuang kemerdekaan Tanah Melayu satu ketika dahulu, Syeikh Mohd. Salim Khalali, tentang peranan seorang penulis. Dan buku ini mampu menjadi petunjuk seperti apa yang dikatakan beliau, "mengingatkan mana yang lalai dan menjagakan mana yang tidur, menunjukkan mana yang sesat dan menyampaikan suara yang menyeru dengan kebajikan."

Biarpun tidak semua yang tertulis di dalamnya betul. Namun berikanlah ia satu pertimbangan yang adil. Biarkan akal yang mengadili, jangan emosi. Seperti buku ini lahir jadinya - dari akal seorang pemikir, seperti kata Eddin Khoo yang mengakhir ayat akhir kata pengantarnya dalam buku tersebut, "Ya, pemikir itu harus berkata, bersama dengan penyair Amerika Robert Frost: 'Dua jalan bercabang di hutan; dan aku/Aku memilih jalan yang kurang dilintasi/Dan itulah bezanya.'"