11 May 2005

Melayu

Ikuti wawancara dengan Fathi Aris Omar. Wawancara ini boleh juga dilayari di blog zulhabri.

Kenapa dan di mana ‘bahaya’ politik kita?

Politik kita (Melayu, umumnya) menyimpan ‘bahaya’ kepada pemikiran kita kerana sifatnya yang sangat berpihak (partisan). Kecenderungan berpihak ini membiakkan lagi beberapa gejala negatif, tetapi sayangnya tidak diperhatikan, tidak dikenali dan dibahaskan dengan baik. Kecenderungan ini muncul kerana sifat dan budaya kita yang sangat tajam perseteruannya.

Apakah penyebab atau punca-punca yang memunculkan kecenderungan negatif ini?

Ada beberapa faktor yang mendorong kecenderungan ini. Ia saling berkaitan antara satu sama lain, bukan satu faktor sahaja. Ia bertindih dan bertaut dalam satu jaringan yang kompleks, beberapa lapis. Secara mudah, kita boleh nampak faktor-faktor berikut (antaranya):

(a) suasana yang tidak bebas dan tidak berimbang (tidak demokratik),
(b) pengaruh wacana agama yang menyuburkan keyakinan hak/benar/suci/iman dengan lawan politiknya yang dianggap kurang (atau tidak) hak/benar/suci/iman,
(c) masing-masing kumpulan bergegas untuk menang, maka mereka memajukan kepada orang ramai sisi-sisi benar diri (kumpulan) sendiri, dan mendiamkan sama sekali sisi-sisi lemah, palsu atau menyeleweng mereka; sebaliknya menunjukkan sisi-sisi buruk lawan politik mereka, mengabaikan sama sekali kebaikan pihak-pihak lawan,
(d) wacana baik-buruk dalam wacana politik ini pula dangkal sahaja, sarat propaganda (tapisan maklumat dan penyerongan perspektif), dan kurang perspektif teori atau sudut pandang yang meluas,
(e) pihak-pihak cerdik pandai Melayu yang lain ‘tenggelam’ bersama dua pihak ini (PAS dan Umno) atau ‘berdiam diri’ – mereka tidak turut serta menyuarakan hal yang luas, jujur, tenang dan kritis kerana faktor (a) di atas.

Dengan faktor-faktor ini, apakah kesan-kesan ‘negatif’ kepada masyarakat, sama ada mereka berminat pada politik atau tidak, misalnya anak-anak muda?

Masyarakat menerima satu-satu sisi hujah sahaja, tidak lengkap dan tidak luas. Sementara sisi itu pula kabur dan mengelirukan, tidak mendalam, tidak spesifik dan banyak waktunya tidak menunjukkan asal-usul sesuatu wacana politik itu berkembang. Hal yang sama bukan hanya terjadi kepada ahli-ahli politik, aktivis dan parti-parti politik.

Ia boleh mempengaruhi penulis-penulis kolum, pengamat politik, cendekiawan dan semua mereka yang mengikuti isu-isu politik. Apatah lagi jika mereka ini juga ada ideologi tertentu, ada kepentingan tertentu dengan pihak-pihak (parti) tersebut.

Kecuali, jika mereka berfikiran kritis dan menyedari faktor-faktor yang disebutkan di atas. Dengan menyedari faktor-faktor ini, mereka akan cuba mencari dan meneliti isu-isu politik dengan lebih luas. Dengan itu, mereka tidak terperangkap dengan wacana yang telah diserongkan, perspektif yang telah disempitkan dan propaganda selapis, atau, janji manis orang-orang politik.

Apa yang dihujahkan di atas itu memang sifat politik – semua orang ada kepentingan atau ideologi politik masing-masing. Jadi, bagaimana mungkin kita mengelak kesan-kesan negatif ini?

Tidak, apa yang muncul di negara kita ini bukan sifat ‘semula jadi’ politik. Ciri atau sifat politik kita ini dipengaruhi faktor-faktor yang dijelaskan tadi, misalnya suasana tidak demokratik yang menyebabkan banyak pihak cerdik pandai (atau kumpulan masyarakat terbabit) tidak dapat menyuarakan sisi-sisi pandang mereka sendiri yang independen.

Banyak pihak akhirnya bergantung, atau bersembunyi di belakang orang politik, menyalurkan aspirasi politik mereka melalui parti-parti yang ada. Jika mereka tidak senang kepada Umno, mereka ‘lari’ kepada PAS. Begitulah sebaliknya. Apabila mereka bersama sesebuah parti, sifat akal kritis mereka ditekan dan akhirnya lebur di bawah pijakan budaya sesebuah parti.

Sejak itu, mereka hanya nampak keburukan lawan politiknya sahaja dan melupakan keburukan dalam parti sendiri. Jika mereka berani menyuarakan (mengkritik) sesuatu melalui saluran di dalam parti, hal itu tidak diketahui oleh orang ramai. Maka masyarakat tidak tahu apa-apa yang bergolak di dalam sesebuah parti kecuali keadaannya sudah serius.

Jadi, budaya politik demokratik yang bagaimana yang harus kita suburkan?

Dalam sebuah negara demokrasi, semua pihak yang berminat boleh menyalurkan pandangan dan kritik politik mereka – sama ada kritik terhadap pemerintah atau pembangkang. Atau, kumpulan-kumpulan masyarakat lain yang cuba mempengaruhi dasar-dasar awam.

Boleh jadi mereka itu ahli akademik (sarjana sains politik, misalnya), wartawan, aktivis, mahasiswa, seniman, pemimpin masyarakat, wakil-wakil persatuan dan tokoh-tokoh di segenap peringkat. Mereka bukan orang politik dan mungkin tidak ada hubungan dengan parti-parti, jadi mereka dapat bersuara dengan lebih bebas, lebih jujur, lebih kritis, lebih bernas daripada ahli-ahli politik yang hanya mewakili kepentingan parti masing-masing.

Maksudnya, pandangan-pandangan politik yang ditawarkan kepada masyarakat itu banyak hala, banyak perspektif?

Ya, dalam budaya demokratik yang sebenar, politiknya berorientasikan wacana atau dialog beragama, pandangan mereka ‘jamak perspektif’. Mereka berhujah berorientasikan akal dan kajian. Mereka harus membentangkan kebernasan dan ketajaman analisa di depan masyarakat untuk dinilai dengan jujur. Mereka harus menyediakan program-program politik yang konkrit, bukan sekadar slogan-slogan kosong.

Jadi, tingkat kefahaman berpolitik masyarakat – di negara seumpama ini – memang tinggi. Masyarakat sentiasa waspada pada ahli-ahli politik, ada keghairahan untuk bersikap kritis pada kuasa politik dan orang politik.

Tapi persoalannya, budaya politik kita sekarang sudah tidak demokratik, memang sentiasa berat sebelah dan menguntungkan parti kerajaan sahaja. Parti-parti pembangkang atau aktivis masyarakat hanya mengikut keadaan atau arus politik yang sedia ada!

Di sinilah persimpangan isu yang harus kita waspadai. Jika kita mengikut arus tidak demokratik yang ada (yang dipelopori Umno-BN), lemas dalam percaturan politik saat ini (kononnya untuk memperbaiki keadaan tidak demokratik sekarang), tidak membuka wacana yang luas, rasional-kritis dan matang, kita sendiri tidak mendidik masyarakat. Kita tidak cuba mengangkat tingkat kefahaman wacana politik kita.

Jika kita juga menyebarkan propaganda, jika semua orang berpihak (sama ada pro-pembangkang atau pro-kerajaan), kita akan terperosok lebih jauh dalam senario tidak demokratik ini. Masyarakat akhirnya menjadi lemah. Masyarakat yang lemah kefahaman politik ini akan hanya mengikut secara membuta-tuli mana-mana parti atau ahli politik yang berjaya membuai-buai khayalan mereka.

Misalnya, dalam pilihan raya umum 1999, apabila mereka tidak senang dengan Umno-BN, mereka akan lari kepada PAS-BA pula. Dalam pilihan raya 2004, mereka kembali kepada Umno-BN. Tetapi lihat sendiri program-program parti-parti yang bertanding ini, apakah menguntungkan rakyat?

Di mana kita harus bermula? Bagaimana kita boleh menyuburkan budaya politik demokratik, budaya politik wacana dan jamak perspektif, di tengah-tengah keadaan yang tidak demokratik ini?

Harus ada penulis, pemikir, persatuan, mahasiswa, kumpulan anak muda dan media yang memantau parti-parti politik dan tema-tema yang ditolak dalam wacana persaingan sesama orang politik ini. Mereka ini jangan tergoda untuk turut berpihak. Sebaliknya, harus terus-menerus mengajak rakyat berfikir secara rasional, kritis, tenang dan membuka wacana jamak perspektif.

Maksudnya, rakyat sebagai sasaran politik jangan jadi seperti kerbau dicucuk hidung. Masyarakatlah yang menyuarkan sikap-sikap mereka tentang jenis budaya politik yang bagaimana yang mereka mahu, ahli dan parti politik yang mereka mahu, dan program politik yang bagaimana yang mereka mahu.

Persoalannya lagi, rakyat kita kelihatannya belum ‘celik politik’, mudah dibuai-buai propaganda parti politik masing-masing, sama ada media harian pro-kerajaan atau tabloid pembangkang. Rakyat lemah kerana tidak ada aktivis, media, pemikir dan kumpulan anak muda yang mendekati rakyat dengan format fikir demokrasi seumpama ini.

Inilah cabaran politik kita sekarang. Cabaran untuk mewujudkan demokrasi di negara ini bukan menggantikan parti pemerintah atau undang-undang yang sedia ada. Tetapi perubahan di peringkat ini, di peringkat struktur rasmi masih penting. Bukan tidak penting.

Isu pokoknya ialah perlahan-lahan kita menguatkan rakyat supaya mereka mampu berfikir kritis dan independen. Demokrasi harus dihidupkan dari dalam masyarakat, dari peringkat akar umbi. Demokrasi harus dijadikan budaya hidup.

Penyuburan demokrasi bermula dari penghayatan nilai-nilainya di tengah-tengah masyarakat. Rakyat harus bersedia bersuara, berwacana dan berunding dalam isu-isu konflik atau perbezaan politik mereka. Mereka jangan tergesa-gesa bergantung kepada kerajaan atau parti politik. Mereka harus mengendalikan urusan-urusan hidup mereka sesama sendiri.

Tentunya usaha mendekati rakyat seperti disarankan di sini tidak mudah. Tentu ada masalah-masalahnya. Antaranya, apa masalahnya?

Halangan di peringkat budaya ini pasti masih besar sebab rakyat itu sendiri sudah lama dipegang oleh parti-parti politik. Dalam masyarakat Melayu, semua sektor atau kumpulan, termasuk di peringkat akar umbi, sudah terkena tempias atau termasuk perangkap dalam jaringan parti-parti ini. Gejala ini harus diperhatikan dan diwaspadai.

Tugas ini boleh dijalankan – jika kita sedar – oleh kumpulan mahasiswa, anak muda, aktivis NGO, pemikir, penulis dan media independen. Sebab, mereka ini sahaja yang tidak ghairah untuk memenangi pilihan raya tetapi masih ghairah mengkritik sifat-sifat tidak demokratik parti kerajaan. Usaha ini memang mulia dan bagus. Kritik dan kempen mereka banyak membuka mata orang ramai.

Sayangnya, mereka terlalu dekat dengan parti-parti pembangkang. Di sini ada risiko yang sangat besar.

Apa risikonya? Bukankah mereka perlu bersatu tenaga dengan parti pembangkang untuk menentang pemerintah yang tidak demokratik yang menggunakan seluruh jentera birokrasi dan institusi di bawah kawalannya untuk menekan pengkritik kerajaan?

Risiko atau masalah ini bermula apabila kumpulan mahasiswa, anak muda, aktivis NGO, pemikir, penulis dan media independen mula ‘bermain mata’ dan ‘jatuh cinta’ dengan parti-parti pembangkang. Di sini pengkhianatan kaum terpelajar muncul tetapi tersembunyi di sebalik slogan indah ‘membina barisan bersatu untuk memperjuangkan demokrasi’.

Dalam usaha itu, mereka gagal bersikap independen, malah tersedut dalam permainan budaya berpihak yang telah dijelaskan di awal tadi. Mereka menjadi sebahagian rangkaian kerja atau jentera parti-parti pembangkang. Mereka fikir telah berjuang untuk demokrasi tetapi mereka sebenarnya tidak menuju ke arah demokrasi. Langkah ini langkah mundur!

Mereka sebenarnya sedang memburukkan lagi demokrasi dan menyuburkan proses pembodohan dalam masyarakat! Permainan politik kita, akibat saratnya propaganda, hujah dangkal dan tidak jamak perspektif sama-sama membodohkan akal awam (public) seperti mana yang telah dijalankan oleh media-media Umno dan BN selama ini.

Akhirnya, untuk menang, PAS atau BA berbuat hal yang sama. NGO, aktivis, anak muda dan mahasiswa kita juga sama sahaja! Sekali lagi, projek pembodohan masyarakat ini berkembang – semakin subur, semakin meluas.

Jadi, bagaimana bentuk hubungan atau layanan parti-parti pembangkang terhadap media, penulis, mahasiswa atau aktivis yang mengkritik mereka?

Mereka harus mengalu-alukan kritikan itu. Jangan menganggap media, penulis, mahasiswa atau aktivis ini ‘musuh’ mereka sebagaimana mereka berdepan dengan parti-parti kerajaan. Malah, kerajaan juga tidak seharusnya mendiskriminasi media, penulis, mahasiswa atau aktivis yang mengkritiknya.

Hubungan orang politik dengan sektor-sektor lain harus setara, sebagai rakan dialog yang jujur, terbuka, tenang dan rasional-kritis. Tetapi dalam budaya politik kita, orang politik sering berasa ‘besar kepala’!

Ringkasnya, agenda kita ke depan itu bagaimana formatnya? Apa untungnya agenda ini kepada orang Melayu khususnya dan masyarakat Malaysia umumnya dengan format demokrasi yang disarankan ini?

Kita harus menyuburkan budaya independen. Harus ada penulis independen, ustaz independen, pemikir independen, persatuan independen, guru independen, mahasiswa independen, kumpulan anak muda independen dan media independen yang memantau parti-parti politik dan tema-tema wacana yang ditolak kepada umum dalam persaingan sesama orang politik ini.

Individu-individu yang sayangkan Melayu dan Malaysia harus bersikap dan berjiwa independen saat ini. Ini sahaja ‘jawapan terbaik’ dalam senario dan kemelut politik kita. Sikap independen ini penting bagi memecah kebuntuan budaya politik kita yang terlalu berpihak, sarat propaganda dan membodohkan orang ramai.

Ber-independen itu maknanya apa? Apakah maksudnya kita tidak mempunyai pendirian politik atau tidak menceburi politik?

Independen bukan ertinya tidak peduli politik. Mereka prihatin pada isu-isu politik tetapi tidak mudah berpihak kepada sesuatu isu sehingga diperhatikan isu-isu dengan jelas, dengan jernih. Sehingga dapat dibentangkan kepada orang ramai duduk perkara sebenar. Jadi, terpulang kepada masyarakat untuk menilainya.

Jika budaya independen seumpama ini berkembang, pastilah tingkat ‘celik politik’ masyarakat kita akan dapat dipertingkatkan. Masyarakat seumpama ini berupaya pula merangsang parti-parti dan orang-orang politik agar menghargai wacana jamak perspektif, rasional dan pro-akal.

Sekarang, bagaimana sikap orang politik terhadap rakyat?

Sekarang, orang politik tidak menghargai wacana jamak perspektif, rasional dan pro-akal. Mereka senang menyebarkan propaganda, suka membakar emosi, mengelabui hujah-hujah, tidak jelaskan duduk perkara sebenar, dan tidak suka hujah berteori kerana (tersembunyi) dalam fikiran (andaian) mereka bahawa pendekatan seumpama ini sesuai untuk masyarakat.

Masyarakat mudah faham dan terima hujah politik kalau disuapkan pendekatan propaganda dan membakar emosi ini. Dengan kata lain, orang politik percaya masyarakat kita itu bodoh. Jadi, marilah kita sama-sama perbodohkan lagi masyarakat!

Permainan politik seumpama inilah yang berbahaya kepada orang Melayu dan Malaysia. Bersikap independen itu tujuannya untuk menentang projek pembodohan orang-orang politik kita, sama ada kerajaan atau pembangkangnya. Kita, anak-anak muda dan mahasiswa, harus bertegas melawannya!

No comments: