14 February 2006

Hari Kekasih

Hari ini makhluk bernama manusia akan berpasangan dengan teman masing merayakan perayaan Hari Kekasih. Di tangan ada sekuntum bunga, di bawa merentasi khalayak untuk diberikan kepada teman wanitanya.

Teman wanita pula setia menunggu sang kekasih di kerusi itu. Sambil bibir menguntumkan senyuman meleret. Entah apa yang disukakan. Sedang teman lelaki menuju ke destinasi yang dijanjikan sambil bersiul. Entah lagu apa yang disiulkan.

14 Februari pada setiap tahun, manusia telah sepakat untuk merayakannya. Tetapi masih ada yang tak setuju, tak mahu ikut merayakannya. Untuk apa? Kata mereka. Dan kata mereka lagi ada falsafah dan tujuan di sebalik perayaan itu dirayakan. Ada kaitan dengan wali St. Valentine dari agama Kristian, tarikh pembakaran kapal umat Islam, dan Andalusia di rampas oleh orang Kristian.

Itu kata mereka. Dan maaf aku sendiri tdak mengkaji lebih lanjut tentang perkara-perkara ini. Aku tidak mengkaji siapakah dia wali St. Valentine atau tarikh Andalusia di rampas rejimnya oleh rejim Kristian.

Walaupun mereka wujud atau benar akan tarikh-tarikh itu, makna cinta dan kekasih kita tidak patut sempitkan. Kita sebagai seorang penyembah tuhan -- Islam, berhak cinta akan Dia. Dia merupakan cinta agung kita dan tarikh ini telah disepakati sebagai merayakan sang kekasih, jadi persembahkanlah cinta kita dengan sedalam-dalamnya.

Bunga ros digantikan dengan ibadah tanda cinta kita kepadaNya. Cumbu asmara digantikan dengan ayat puji-pujian kepadaNya.

Hari kekasih ini bagai medan kita untuk memulakan kehidupan baru sebagai umat manusia yang akan sentiasa patuh kepadaNya. Harapnya kita akan menjadi seperti Rabiatun Adawiyah, yang mencintai Allah sepenuh hatinya, tanpa mengharapkan balasan surga. Bagaikan lagu Chrisye dan Ahmad Dhani, Jika Surga dan Neraka Tiada.

Kau sebagai penganut agama apa sekali pun -- bagaikan kau penganut Buddha, Hindu, Kristian, Judaisma atau Islam -- punya tanggung jawab dalam menjalani kehidupan di muka bumi ini. Dan tanggungjawab kau yang paling utama ialah kasih kepada tuhan. Mulakan berkasih dengan tuhan pada hari Valentine, jika kau mahu.

Namun hari kekasih ini telah dicemari dengan nilai-nilai komersial yang tinggi -- kad ucapan berayatkan kata-kata manis memadu kasih, bunga ros kemerahan atau keputihan, pelbagai hadiah menambat para hati yang melihatnya, dan sms dedikasi atau ucapan yang tidak terperi. Semuanya bagai mahu memanipulasi atau mengeksploitasi. Memperalatkan hari yang baik ini untuk kepentingan diri sendiri.

Akhirnya yang untung, mereka yang melambakkan barangan mereka di tengah-tengah pasaran. Pembeli hanya mendapat keuntungan yang sedikit -- merayakan dan meraikan kekasih masing-masing.

Maka sang teman wanita akan bergembira dengan pemberian bunga ros yang ikhlas dari teman lelaki. Mereka bercumbu-cumbuan hingga comot pipi mereka dan di dekat bibir dek gincu atau lipstik yang tebal. Selepas itu mereka gembira berpegangan tangan -- erat genggaman tangan dua orang itu -- menuju menghadap tuhan yang esa.

Berkasihlah engkau wahai pasangan kekasih! Raikan cintamu! Raikan cintamu pada tuhan yan berhk dicintai!

No comments: