27 April 2006

Sesekali, kalau


Ketika aku menaip cebisan artikel ini ada insan yang kehilangan keluarga [akibat letupan bom kamikaze, pelbagai jenayah, virus-virus bahaya seperti AIDS, selsema burung atau virus H5N1 dan pembunuhan] di Palestine, Sri Lanka, Mesir dan seluruh dunia. Terdapat orang-orang yang salah bicara atau salah dan tidak dibicara, sudah dan akan menjalani hukuman atas 'jenayah' yang mereka lakukan. Ada yang terlibat dengan al-Qaeda, bersengkokol dengan Nordin Mohd Top ataupun ditekan oleh diktator sesetengah negara.

Aku terus meniti usia ini dengan penuh hati-hati. Mengingatkan apa yang terjadi membuatkan aku berasa sedikit menyesal. Tapi apakan daya, yang terjadi sudah terjadi. Sekarang, baik berdepan dengan masa hadapan. Jika dikenang-kenang menyesal rasanya aku, memicit-micit butang mendail nombor kau. Kalau tidak aku takkan kenal kau. Betul kata Lim Swee Tin di dalam sajaknya "Sesekali, kalau ku kenangkan."

"Sesekali, kalau ku kenangkan/Kita tidak seharusnya bertemu di pantai ini/Biar saja kita bertemu di dalam mimpi/Kerana hidup lebih indah di luar realiti/Sesekali kalau ku kenangkan/Biar saja kita tidak pernah bertemu di dalam mimpi/Kerana mimpi pun bukannya sebuah janji/Biar saja kau tak pernah ada/Kerana, kalaupun ada/Kau akhirnya kan pergi jua"

Aku ingin timbulkan balik pertanyaan aku di hujung sajak "Mungkin", "Bagaimakah rupanya hidup ini/kalau tiada kalau." Soalan ini aku kira sesuai di tengah-tengah suasana kita ini, lagipun, aku juga berkalau-kalau dalam menyatakan sesalan aku.

Semuanya kalau. Tiada yang pasti.

25 April 2006

Sesekali, kalau ku kenangkan


Sesekali, kalau ku kenangkan
Kita tidak seharusnya bertemu di pantai ini
Biar saja kita bertemu di dalam mimpi
Kerana hidup lebih indah di luar realiti

Sesekali kalau ku kenangkan
Biar saja kita tidak pernah bertemu di dalam mimpi
Kerana mimpi pun bukannya sebuah janji
Biar saja kau tak pernah ada
Kerana, kalaupun ada
Kau akhirnya kan pergi jua

Puisi oleh Lim Swee Tin

*aku tidak mampu untuk menulis puisi sesyahdu ini, cuma aku boleh memetiknya sahaja.

24 April 2006

Sungai

Aku mencampakkan seketul batu ke atas aliran sungai di hadapanku. Kawasan aliran air sungai yang terkena campakan batu itu, berkocak. Aku yakin balingan itu berjaya melarikan seekor dua ikan yang berada di situ. Tak kiralah ikan apa.

Bersama kocakan kecil aliran air sungai itu juga, fikiran aku turut berkocak. Aku tersedar dari lamunan panjang. Mengenangkan masa hadapan. Mengenagkan masa silam. Dan mengenangkan masa kini.

Aku terus membaling batu ke arah aliran sungai itu. Dan sekali lagi kawasan aliran sungai tempat balingan aku, terpecik. Berkocak. Sekali lagi lari seekor dua ikan mungkin ke arah bawah jeti.


Pandanganku mula teralih ke arah jeti. Atau penambang. Penambang yang telah mula usang. Tetapi masih tidak boleh menandingi usia usang perkhidmatan bot, merentasi sungai itu. Sejak terbinanya jambatan Sultan Abdul Jalil itu, perkhidmatan bot sudah mula tidak laku lagi. Kalau selalunya pada hari-hari biasa bot mengangkut jumlah penumpang yang ramai, kini tidak lagi. Jumlah penumpang kini, boleh dikira dengan jari [err, termasuk jari kaki
" -- Mat Jan, Jongkang-jongket].

Sesudah puas memandang jeti. Pandanganku kini teralih melihat ke seberang. Sekumpulan kanak-kanak sedang sebok bermandi-manda, terjun, berenang dan menyelam. Sesekali mereka yang menyelan akan menyembulkan kepala mengambil nafas barang sesedut dua.
Ada di antara kanak itu yang mengenakan seluar pendek sahaja. Dan ada juga tidak memakai apa-apa pun. Berbogel!

Sedang aku sebok memerhatikan kumpulan kanak-kanak itu, fikiranku melayang, melewati ke daerah yang sudah lama aku tidak kunjungi. Aku masih ingat lagi pada waktu itu. Ilmu adalah seperti makanan harian. Bukan sekadar maklumat. Bagaikan dadah, kepentingan ilmu ditagih. Ruangan untuk diskusi diperbesarkan. Hidup bagi aku amat berguna ketika itu.

Kini semua itu sudah tiada lagi. Ruangan diskusi semakin kecil. Cuma kewujudan alam siber mengurangkan sedikit pengecilan ruang diskusi itu. Kewujudan alam siber juga bagi aku amat bermakna, kerana di situ ada maklumat. Ilmu.

Nyata, aku harus bersyukur dengan nikmat tuhan yang itu.

22 April 2006

Jongkang Jongket

*ulasan buku

Aziz M. Osman ada menyatakan di dalam salah sebuah rancangan Melodi tahun lepas, bahawa sesebuah filem akan menjadi perakam realiti. Jika pada zaman 'bell bottom' filem itu dibuat, maka kita akan perhatikan filem itu mempunyai elemen-elemen 'bell bottom -- pakaian, warna, dialog atau teknik.

Walaupun sesebuah zaman itu menampilkan sesebuah pakaian sebagai elemen yang paling utama -- contohnya 'bell bottom': seluar labuh dan besar di bawah, koler lebar dan tali pinggang sebesar bapak. Warna, teknik dan dialog juga merupakan sesuatu elemen yang penting juga untuk dilihat.

Membaca buku Mat Jan, bererti aku membaca juga realiti hidup aku beberapa tahun sudah. Peran aku sebagai 'housemate'nya menjadikan nama aku antara nama yang paling kerap disebut, selain Owin, Ikin, Lan, Sha, Malee dan Megat [ada lagi tak?].

Betul kata-kata Aziz tersebut, filem merakam realiti. Kini aku perpanjangkan lagi, semua naratif non fiksyen atau fiksyen merakam realiti. Jika kau buat filem, contohnya filem Ten Commandment pada zaman sekarang, pasti akan merakamkan realiti sedikit sebanyak zaman kini. Begitu juga jika kau buat filem Terminator, 2 atau 3 pada zaman 'pop yeh yeh' pasti kau akan terpengaruh dengan elemen-elemen zaman tersebut sedikit sebanyak.

Aku berani kata, aku lebih senang membaca buku ini, berimajinasi dan berkhayal, membayangkan sesuatu peristiwa, kerana aku tahu dengan lebih jelas apa yang diperkatakan olehnya. Aku kenal Abang Izu. Aku kenal Encik Adlan. Aku tahu 'rumah sewa seksyen 3'. Aku tahu 'Masjid Shah Alam. Aku tahu Restoran Syed. Aku tahu 'Law Fek'. Aku kenal Encik Azam. Encik Helmi. Prof. Shad. Puan Aisya Chua. Puan Aisyah Mubarak. Dan aku juga tahu bagaiman rupa Ikin, Owin, Malee, Sha Lan dan Megat.

Membacanya bagai menggamit segala kenangan indah, sejarah pahit dan suasana sedih. Adakala apabila membaca buku itu aku akan tersenyum seorang diri, berasa sesal dengan apa yang terjadi dan bercita-cita, "aku mesti mintak maap dekat Mat Jan."

Buku yang kata pengantarnya ditulis oleh Tok Rimau, dimulai dulu dengan kata pendahuluan, Jongkang Jongket. Dipetik, "aku mula tulis blog pada tahun 2000. Entri pertama pada 17 Jun 2000. Masa tu tak ramai orang Malaysia menulis blog. Boleh dikira dengan jari aku rasa, err, termasuk jati kaki. Tapi dalam temoh beberapa tahun sahaja, bilangannya berganda-ganda."

Betul kata Mat Jan, dahulu tulis blog bukan merupakan suatu trend. Tetapi tidak pada masa kini. Lihat Entri Ulangtahun 18/6/2006, dalam buku tersebut. Dinyatakan bahawa Perhimpunan Agung Kecil-kecilan Geng Online Jurnal Se-Malaysia Yang Pertama diadakan. Ketua penjur menurut Entri tersebut adalah Nett. Dihadiri oleh cuma Mat Jan, Pika, Lan, Zairi, Nett, Ijah, Aquil, Zira, P-nut, Peaquor, Rudy, Fajar dan Fuad. Secara kesimpulannya boleh dikatakan pada ketika itu, cuma 13 orang yang menyertainya. Tetapi kini, yang terbaru gatheringnya, berjaya mencapai hadiran ratusan peserta.

Mat Jan atau dalam tulisan aku MJ juga merupakan sifu aku di dalam bidang peweblogan. Jika dia tidak mengjar aku apa itu blog dan sebagainya, aku mungkin tidak akan wujud dalam senarai perserta Perhimpunan Agung Kecil-kecilan Geng Online Jurnal Se-Malaysia Yang Pertama. Terima kasih, MJ.

*dikesempatan ini juga aku ingin meminta maaf atas segala perbuatan salah aku kepada MJ. betul, aku berasa sesal dengan apa yang terjadi

21 April 2006

Sayap-sayap Patah


Mungkin tajuk entri aku kali ini bersamaan dengan lagu-lagu dari kugiran Dewa [atau Dewa 19] atau mungkin juga tajuk yang guna pakai kali ini ada kaitan dengan karya agong Kahlil Gibran, Broken Wings. Tidak, bukan niatku untuk meniru Dewa atau juga Gibran. Cuma kebetulan tajuk entriku ini sama dengan kedua-dua buah karya kedua-dua seniman agong itu.

Cukuplah sekali aku terkena dengan pensyarah aku. Memplagiat usahanya bagi kepentingan diri aku. Dan biarkan sahaja Ahmad Dhani menjawab segala tuduhan yang dilemparkan kepadanya akibat daripada amalannya yang dikatakan memplagiat karya Yudhistira ANM Massardi untuk lagu mereka "Arjuna Mencari Cinta."


Kita bagaikan pari-pari kayangan yang sudah patah sayapnya. Insan tersayang pergi buat selama-lamanya. Kita sanggup berkongsi kasih, mengingati orang yang tersayang itu walaupun kita tahu, bahawa orang yang kita cintai juga turut dikasihi oleh ramai orang di dunia ini.

Betul bak kata lagu Dewa, Sayap-sayap Patah, "Rohku melayang, tak kembali, Bila kau pun pergi, Meninggalkan yang terbaik, Bagi kita semua."