21 July 2007

Malaysia negara Islam! No lah...

"Malaysia negara Islam," kata Datuk Seri Najib Razak (DSNR).

"No lah, Malaysia negara sekular," kata MCA.

Kalau mengikut Prof Shad Saleem Faruqi (mengikut kata anak kuliahnya - Mat Jan) di dalam dunia ini hanya ada empat buah negara yang sekular.

Empat buah negara ini, jelas di dalam perlembagaannya tertulis bahawa mereka adalah negara sekular.

Empat buah negara itu ialah negara Turki, India, Amerika Syarikat dan Israel. Tiada nama negara Malaysia. Justeru, tidak betullah kata-kata dari MCA itu.

Tetapi, tunggu sat. Adakah DSNR betul, Malaysia ini sebuah negara Islam.

Kalau mengikut kepada definisi yang dibawa oleh Maulana Sayyid Abul A'la Mawdudi, beliau mentakrifkan negara Islam ialah negara yang kuasa mutlaknya terletak pada Allah SWT.

Dar al-Islam (negara Islam) mementingkan Allah sebagai penentu syariat yang dibawakan oleh Nabi Muhammad SAW.

Menurut laman web Minda Madani oleh ABIM, "para fuqaha membuat kesimpulan bahawa penafsiran negara Islam dan bukan Islam itu terdapat dua pandangan iaitu: Pandangan pertama negara Islam diasaskan kepada perjalanan dan pelaksanaan shariat Islam. Kalau tidak ia bukannya negara Islam.

"Pandangan yang kedua berdasarkan majoriti penduduk Muslim dan keamanan negara Islam. Berdasarkan pandangan yang kedua ini yang mengatakan bahawa negara Islam berasaskan unsur majoriti penduduk Muslim dan keamanan maka ia merupakan sebuah negara Islam sckalipun shariat Islam tidak dilaksanakan sepenuhnya.Ini merupakan pandangan sebahagian para fuqaha kini termasuk Abu Zahrah."

Pada detik ini aku bersetuju dengan pendapat Dr. Chandra Muzaffar dalam Malaysiakini. Di dalam artikel bertajuk Malaysia: A secular or Islamic state? beliau mengatakan bahawa, "[jika] ditakrifkan menurut undang-undang serta politik, negara ini merupakan negara sekular, namun dalam masa yang sama ia tidak mengabaikan hakikat bahawa negara ini telahmenjalankan fungsinya pada bahagian yang 'tidak sekular', terutamanya dalam tempoh masa tiga tahun kebelakangan ini."

18 July 2007

Friday the 13th

Kalau ikut di segi tanggal, 13 merupakan sebuah tanggal yang paling digeruni oleh mereka yang di sebelah barat dunia.

Tambah-tambah lagi kalau tanggal ke-13 itu jatuh pada hari Jumaat.

Orang-orang di sebelah sana sehinggakan dinasihat supaya duduk di rumah sahaja, kerana pada hari itu dikatakan jumlah kemalangan meningkat dan jumlah kemasukan ke hospital meningkat.

Namun kesahihannya dan bukti menurut data lengkap tidaklah diketahui.

Pada masa kini, pada zaman sains dan tenologi ini, kepercayaan karut marut ini, semakin ditinggalkan oleh masyarakat dunia.

Jika ada peristiwa buruk yang berlaku, kita tidakmenyalahkan pada tanggal, melainkan ia hanya kebetulan sahaja.

Di Malaysia, kepercayaan ini tidak begitu popular.

Tetapi pada hari Jumaat sudah, 13 Julai 2007, seorang warganegara Malaysia bagai ditimpa dengan sumpah 'Friday the 13th'.

Juga pada hari itu, masyarakat siber dan para bloggers, turut mengalami nasib yang sama.

Tetapi aku percaya warganegara Malaysia itu, masyarakat siber dan para bloggers di negara ini akan menganggap apa yang telah berlaku cuma kebetulan sahaja, tiada kaitan dengan sumpah tarikh keramat itu.

Dikatakan, penahanan beliau hanyalah disebabkan dari arahan Johari Baharum yang mengarahkan polis untuk menyiasat blog-blog dan web-web yang mendedahkan tentang kes rasuah yang melibatkannya.

Dikatakan juga, selain sebab di atas beliau juga turut ditahan untuk tujuan menakut-nakutkan penulis blog yang lain.

Aku percaya jika kerajaan melakukan intimidasi untuk memomokkan penulis-penulis blog yang lain, usaha itu akan jadi sia-sia.

Kerana aku percaya lagi bahawa, saban masa akan lahir penulis-penulis blog yang baru.

Jika ada seorang Nat dipenjarakan, pasti akan bangun beribu-ribu Nat lagi.

"Ada hikmah, semangat tambah kuat", seperti kata-kata oleh Nat sejurus selepas dibebaskan (seperti yang dipetik dari blog Anwar Ibrahim 3.5).

01 July 2007

Arahan jangan siar tentang pembangkang: Ini buktinya

Memang menjadi rahsia umum bahawa stesen radio dan televisyen milik kerajaan diarahkan supaya jangan menyiarkan tentang pembangkang. Tetapi kini stesen radio dan televisyen swasta juga tidak terlepas daripada arahan yang sama. Malaysiakini memperolehi salinan surat yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang mengarahkan semua stesen radio dan televisyen swasta supaya berhenti menyiarkan ucapan pemimpim pembangkang. [Lihat surat asal]

“Adalah dimaklumkan bahawa pihak kerajaan mendapati bahawa beberapa stesen-stesen TV dan radio swasta telah menyiarkan ucapan dari pemimpin parti pembangkang,” kata Pengerusi SKMM, Datuk Dr Halim Shafie dalam surat bertarikh 7 Jun lalu. “Sehubungan dengan itu, pihak tuan adalah diminta untuk tidak lagi menyiarkan ucapan sedemikian di masa akan datang,” tambahnya. Menurut surat itu lagi, mereka diminta melaksanakan serta merta arahan tersebut. Halim tidak dapat dihubungi untuk mengulas mengenai arahan tersebut.

SKMM adalah agensi kerajaan di bawah Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi, mempunyai kuasa untuk mengawal perkara berkaitan dengan aktiviti komunikasi dan multimedia, termasuk stesen radio dan televisyen swasta serta lamanweb internet. Bidangkuasanya merangkumi urusan pelesenan stesen radio dan televisyen swasta. Salinan surat tersebut turut dihantar kepada Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Dr Halim Man.

Semalam, stesen televisyen swasta, ntv7 menafikan dakwaan parti pembangkang bahawa ia telah menerima arahan supaya tidak menyiarkan komen pihak pembangkang. Rabu lalu, Ahli Parlimen DAP, Tan Kok Wai memberitahu satu sidang akhbar bahawa beliau telah mendapat maklumat dari sumber yang layak dipercayai mengenai arahan tersebut. Beliau menyifatkan arahan itu sebagai satu bentuk diskriminasi terhadap parti-parti pembangkang. -- malatsiakini.com

29 June 2007

Najib dilihat bersama Altantuya

Soon Li Tsin
Jun 29, 07

Seorang saksi rakyat Mongolia memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bahawa dia pernah melihat gambar Altantuya Shaariibuu sedang makan bersama dengan seorang pegawai kerajaan Malaysia bernama Najib Razak.

Burmaa Oyunchimeg (left), yang juga dikenali sebagai Amy, memberitahu mahkamah bahawa Altantuya telah menunjukkan kepadanya gambar tersebut sekembalinya dari Perancis.

Dipercayai pegawai kerajaan Malaysia dalam gambar tersebut adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mempunyai hubungan rapat dengan Abdul Razak Baginda. Abdul Razak kini menghadapi tuduhan bersubahat membunuh Altantuya, 28.

Burmaa, 26, menyebut mengenai gambar itu ketika disoalsiasat oleh Timbalan Pendakwaraya, Manoj Kurup. Bagaimanapun, apabila dia menyebut mengenai gambar yang menunjukkan Altantuya sedang makan dengan Razak dan seorang ‘pegawai kerajaan’, pihak pendakwa beralih kepada soalan lain.

Kira-kira 20 minit kemudian, Karpal Singh, yang menjadi peguam pemerhati bagi pihak keluarga Altantuya, memohon kebenaran mahkamah untuk bertanya mengenai gambar tersebut.

'Sama nama'

Ia dibantah oleh pihak pendakwa dan berlaku pertikaman lidah berhubung sama ada soalan itu relevan atau tidak. Bagaimanapun, Hakim Datuk Mohd Zaki Mohd Yusni membenarkan permohonan Karpal itu.

Karpal kemudiannya bertanya kepada Burmaa apakah yang terdapat dalam gambar tersebut. “Dia (Altantuya) sedang makan bersama Razak (Baginda), seorang pegawai kerajaan Malaysia dan orang lain,” jawabnya.

Karpal kemudian bertanya mengenai identiti pegawai kerajan itu dan Burmaa menjawab: “Saya ingat namnya Najib Razak, nama mereka sama. Saya bertanya kepadanya (Altantuya) sama ada mereka bersaudara.”

Ini mencetuskan satu lagi pertikaman lidah antara Karpal dengan pihak pendakwa. Menurut pihak pendakwa, Abdul Razak dan Altantuya bertemu pada 2004 dan menjalinkan hubungan, ketika mana Razak memberi wang kepadanya. Selepas mereka berpisah setahun kemudiannya, Razak dikatakan terus memberi wang setiapkali diminta oleh Altantuya. Tetapi tiada lagi pembayaran dibuat tahun lalu, menyebabkan Altantuya tidak puashati dan datang ke Malaysia pada bulan Oktober lalu, kata pihak pendakwa.

Mayat Altantuya kemudiannya ditemui diletupkan di sebuah kawasan di Shah Alam, selepas dia dibawa pergi dari luar kawasan rumah Abdul Razak pada pertengahan Oktober lalu.

Di kandang tertuduh ialah Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, dari Unit Tindakan Khas Bukit Aman yang didakwa membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara lot 12843 dan lot 16735, Mukim Bukit Raja di sini antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Abdul Razak, 46, pula didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar dalam melakukan pembunuhan itu.

Jika sabit kesalahan, ketiga-tiga mereka boleh dihukum mati. -- malaysiakini

19 June 2007

Blog dan masa depan negara

7 tahun sudah aku mula kenal blog (walau pada mulanya ia tak dipanggil blog; cuma aku dan kawan aku panggil weblog atau log sahaja). Semuanya terima kasih kepada Mat Jan yang memperkenalkan aku dengan dunia pe'weblog'an.

Ingat lagi dulu waktu mula-mula buat 'gathering (berhimpun)' secara tak rasmi. Waktu itu kami 'berhimpun' tak ramai -- aku, Mat Jan, Lan, Zairi, Nett, Ijah, Aquil, Zira, P-nut, Peaquor, Rudy, Fajar dan Fuad.

Selepas 7 tahun, kini penulis blog sudah mencapai angka beribu-ribu orang -- dengan terwujudnya dua fraksi utama; Geng Jurnal (GEJU) dan Bloggers United (yang aku ketahui, aku percaya ada satu dua lagi fraksi yang tak dikenali ramai).

Kita harus akui perkembangan pesat blog.

Baru-baru ini seorang timbalan menteri mendesak supaya semua penulis-penulis blog mendaftar nama mereka. Tidakan ini dilihat oleh sesetengah pihak sebagai cara kerajaan mengawal rakyat negara ini -- dengan alasan bahawa takut jika penulis-penulis blog, ada yang menyalah gunakan ruang untuk mereka menulis.

Lagi, Menteri Penerangan Datuk ZAM menyarankan kepada Malaysia bahawa blog harus diklasifikasikan; yang mana blog elok dan yang mana blog yang suka menyebarkan fitnah.Mungkin pihak pemerintah menyangkakan mereka mungkin dapat mengawasi kesemua gerak geri rakyat; sehinggakan di ruang maya ini -- kata seorang ahli politik pembangkang -- mereka mahu mengawasi rakyat.

Dalam artikel yang bertajuk "[k]erajaan tewas dalam 'perang siber'?" tersiar di mStar pada 3 Ogos 2006, pemilik blog ScreenShots Jeff Ooi dan pengendali Malaysia-today, Raja Petra berkata kepada penulis artikel tersebut, "[b]erbeza dengan laman-laman web pro-Reformasi yang tidak dikenali, blog sekarang ditulis oleh beberapa penulis yang dikenali ramai, kalaupun tidak berpengaruh. Teknologi untuk membangunkan blog kini jauh lebih mudah berbanding laman-laman web Reformasi."

Nampaknya masa depan negara kini, terletak pada blog dan melihat kepada perkembangan blog kini aku yakin bahawa pemerintah masa akan datang perlulah kuasai blog untuk terus berkuasa.