11 September 2006
9/11
Yang jelas, yang dapat faedah adalah elit rumah putih yang dipimpin oleh Bush [?]. Afghanistan menjadi hak mereka. Iraq diserang. Sekarang mereka mahu perintah dunia pula [?].
Takziah untuk keluarga mereka yang terlibat.
04 September 2006
Belasungkawa IV
Tiada lagi wajah berani langsung Steve Irwin. Yang ada cuma rakaman wajahnya.Aku tahu dia di antara selebriti yang sangat rapat dengan alam sekitar terutamanya haiwan-buaya, dia langsung ada satu program bertajuk "The Crocodile Hunter." Dia meninggal dunia sewaktu pergambaran -- diserang ikan pari. Ada duri ikan pari tertusuk dijantungnya. Akibatnya dia meninggal dunia.
Aku juga tahu suatu ketika dulu dia bersama orang2 anti perang Australia berarak di luar parlimen dan berucap berkata tentang kebencian perang -- mempersoalkan kenapa kerajaan Australia menjadi 'polis' di Asia dan mengalu-alukan kedatangan Bush.
Mungkin kau senang lenang di syurga sekarang bersama-sama buaya yang menjadi teman baik kau.
Takziah untuk keluarganya.
Jasad
Kalau hari Jumaat itu hari, Rashid Maideen meninggal, hari Sabtu yang akan datang jasad Tengku Menteri Ngah Ibrahim dan bapa mentuanya, Laksamana Mohamad Amin Alang, akan dibawak balik dari Singapura untuk disemadikan di Malaysia. Di Perak.Kisah dua orang yang cuba menentang penjajah, mati di tanah asing, atau seakan menemui titik nokhtah yang sama. Walau apa tujuan mereka menentang penjajah, sepatutnya jasad mereka tidak terbiar di negara asing. Harapan aku semoga jasad Rashid Maideen dapat dibawak balik untuk disemadikan di negara ini. Negara tempat asalnya.
Nota tentang Ngah Ibrahim dan Mohamad Amin Alang [dipetik daripada sini]: Ngah Ibrahim adalah pembesar Melayu terkaya pada abad ke-13 hasil perlombongan bijih timah di Larut./Ngah Ibrahim dibuang negeri bersama Almarhum Sultan Abdullah, Mohamad Amin dan Datuk Syahbandar selepas terbabit dengan pembunuhan Residen Inggeris di Perak, JWW Brich pada 1875./Ngah Ibrahim dan Mohamad Amin gagal dalam permohonan mendapatkan pengampunan kerana dianggap mengancam pentadbiran Inggeris di Perak.
03 September 2006
Rashid Maideen
Hari Khamis itu hari, Paloh disiarkan kat RTM 1. Esoknya kebetulan pulak berita Rashid Maideen meninggal menjadi buah mulut ramai orang.Aku masih ingat lagi imej pada antara babak terakhir filem Paloh. Imej sekumpulan bintang tiga [ada di antaranya berbangsa Cina]yang dipimpin oleh Ariffin Nur, rancak bernyanyi ghazal diiringi petikan gambus yang mengasyikkan.
Betul, aku teringatkan Abdullah CD, Shamsiah Fakeh dan arwah -- pada masa tu dia masih lagi bernafas. Tak tipu.
Pilu jugak seorang pejuang kemerdekaan tak dibenarkan menetap di Malaysia -- walau sudah beberapa kali pulang sanak saudara di Gopeng, Perak -- pula, menghembuskan nafas di luar kawasan tempat dia berjuang.
02 September 2006
Paloh
Sebagai mana Bintang Tiga itu terpikat dengan, mainan gambus Arifin Nur, begitulah juga hati saya terpikat dengan filem Paloh arahan Adman Salleh. Walaupun kualiti bunyi, kesan khas dan sinematografinya ada sedikit kelemahan. Namun kekuatan lakonan dan skripnya, dibantu pula dengan plot (jalan cerita) yang berterabur – narator dan naratif bagai menghendakkan para penonton menyusunnya -- menenggelamkan segala kelemahan filem tersebut. Hingga menyebabkan saya menontonnya berulang-ulang kali.
Filem ini juga adalah filem tempatan pertama yang saya perhatikan berani untuk mengajak kita berfikir semula tentang komunis sebagai pejuang kemerdekaan, melawan penjajah tak kira Jepun ataupun Inggeris. Teliti dialog berikut, dialog yang diucapkan Ariffin Nur kepada anaknya Fatimah. "Mati Puteh, sia-sia sahaja. Lebih baik mati sebagai komunis. Paling tidak komunis mati mempertahankan hak kita."
Dan ia merupakan, satu-satunya juga filem yang menunjukkan perjuangan bekas-bekas pejuang dalam Kesatuan Melayu Muda yang mahu berpakat dengan komunis. Mungkin kita tidak didedahkan sangat dengan perjuangan meeka. Atau mungkin kita terlalu terdedah dengan perjuangan UMNO yang juga berapi-api menuntut kemerdekaan.
Dialog-dialog di dalamnya pun penuh berisi dan ini saya perhatikan kurang terdapat dalam filem-filem tempatan. Filem luar, terutamanya filem dari
Di sebalik suasana perang (perebutan kuasa antara Inggeris-Jepun) dalam filem ini, survival rakyat yang tersepit di celah-celah gajah yang bergaduh, diperlihatkan dengan tegas. Bagaimana mereka yang bersifat tidak radikal telah mengambil keputusan untuk tidak mencampuri keradikalan mereka-mereka yang radikal. Tindakan Ahmad, Puteh, Harun dan rakan-rakan mereka dalam pasukan polis Jepun dapat dilihat untuk melepaskan diri dari keganasan perang. Mungkin cara mereka bagi sesetengah pihak adalah seperti pengkhianat, namun itu terpaksa mereka lakukan demi kerana masa depan mereka dan orang-orang yang mereka sayang. Pak Arifin Nur cukup bencikan watak serupa ini.
Selain itu, terselit juga kisah cinta antara dua bangsa - Ahmad yang Melayu becinta dengan Siew Lan yang Cina. Siew Lan yang pada mulanya hanya mencintai Ahmad atas dasar hendak membantu keluarga, akhirnya mencintai Ahmad dengan sepenuh hati – sehinggakan dia menyimpan gambar-gambar bersama Ahmad dan akhirnya disuruh koyak oleh ketua wilayah PKM ketika itu. Percintaan mereka seperti mahu menggambarkan jambatan keakraban yang patut dibina kukuh antara kaum Melayu dan Cina di negara ini. Dan gambaran ini jela sekali dengan terwujudnya watak Usman yang peranakan Cina dan Melayu.
Dengar semula dialog yang diucapkan Ah Meng kepada Ahmad, "Sebelum Jepun datang ke sini, olang Melayu sama olang Cina ada gaduh? Tak pernah." Memang selalunya orang luar terutamanya penjajah, gemar memecah belahkan kesatuan dalam negara yang mahu dijajahnya. Dan bertitik tolak dari situ, dasar pecah dan perintah Inggeris sampai ke hari ini telah membawa perpecahan secara tidak nampak atau terpendam antara kaum Melayu dan Cina.
Tabik saya pada Adman Salleh dan Filem Negara kerana berjaya menghasilkan filem tempatan yang bemutu. Dan tabik saya juga pada perjuangan Arifin Nur dan rakan-rakan mereka di hutan. Mainan gambusnya tidak sumbang, malahan menjadi semangat kepada pejuang-pejuang kemerdekaan untuk terus berjuang demi agama, bangsa dan tanah air. Rentak zapinnya juga berseni ibarat rentak juangnya yang terus bersemangat mahu memerdekakan diri dan negara.
p/s - pernah tersiar di Akhbar Mahasiswa, sekitar tahun 2003. Sekarang, dengan edisi yang telah ditambah dan dikurang. Juga tajuk yang telah dipinda. Harap maklum.