29 December 2005

Bukan niatku untuk membunuhmu

Engkau mati jua
Dan engkau meninggalkan aku
Dengan rasa sesal

Aku
Amat sesal
Kau pergi meninggalkan aku
Dan berjumpa tuhan seorang dirimu

Di kala itu
Darah merah pekat mengalir
Dan batang tubuh kau terkulai
Tidak bernyawa
Di pangkuanku
Tidakku sedar aku telah membunuhmu

Aku
Amat sesal
Kau pergi meninggalkan aku
Aku yang terpinga-pinga
Tanpa arah tujuan

Dan baru aku sedar perbuatanku itu
Merupakan perbuatan berdosa
Perbuatan hitam

Ketahuilah
Kau
Atau siapa sahaja
Bahawa aku sebenarnya tidak sedar
Dan bukan niatku untuk membunuhmu

Sel 73

27 December 2005

Saat ini di sini

Oleh Sam Ahmad

Saat ini,
Di sini,
Aku keseorangan,
Bagai pasir yang kering
Tanpa dibasahi air,
Begitulah aku memerlukanmu.

Saat ini,
Di sini,
Aku kesepian,
Tiada berteman,
Ibarat lopak kering,
Tanpa digenangi air hujan,
Beginilah aku tetap memerlukanmu.

Kesunyian melanda,
Jiwa terkenangkan dirimu,
Dan aku benar-benar kecewa,
Setelah tahu yang engkau sudah tiada.

Hidup cuma sekali,
Begitu juga dengan mati,
Salahkah aku memilih dirimu,
Di saat kau tiada lagi.

Kini,
Semua itu sudah lama berlalu,
Menjadi kenangan,
Saat kau bertemu tuhan.

Sel 73

22 December 2005

Ekstrem

“Setiap kali dia sudah mula mabuk berahi,
setiap kali itu jugalah kekasihnya tak mampu untuk melawan nafsu dan perasaan
mereka. Maka soalannya tempoh hari, pasti akan lemas bersama lemasnya mereka di
lautan berahi.”


Bagi mengikuti cerpen berkanaan dengan
selengkapnya, sila lawati

Jalan Telawi
.

20 December 2005

Amina Wadud, Madonna dan Komputer

Di bawah meja tempat aku meletakkan komputer ini, terdapat timbunan buku-buku tersusun walaupun sedikit berselerak. Salah satu buku itu adalah majalah Al-Islam.

Ada imej Amina Wadud sedang memimpinkan solat jumaat yang menggemparkan seluruh dunia di muka depan majalah itu. Isinya sudah tentulah bermain-main di sekitar persoalan pro dan kon amalan ini di amalkan.

Nyata idea sudah mula kekurangan di dalam kepala otak aku ini. Perlahan-lahan aku mengambil majalah tersebut, menyelak dan membaca perenggan demi perenggan, untung-untung dapat idea.

Jam menunjukkan lebih pukul 12 tengah malam dan aku masih belum tidur lagi. Biasanya, aku akan tidur sebelum pukul 12. Akibat sudah biasa, secara otomatik mata aku akan segera merasa mengantuk selepas sahaja pukul 12.

Namun kebiasaan itu tidak berlaku hari ini. Aku terus menaip dan bercadang untuk terus menaip sehingga merasa mengantuk.

Di MP3 nyanyian merdu pada tengah malam, Tiara Jacquelina dengan lagu Asmaradana menggangu serba sedikit fikiranku yang sebok memikirkan tentang isi penulisan – apa yang hendak aku tulis – ini.

Sudah setahun berlalu sejak aku menghadapi keadaan kekurangan fizikalku begini akibat dari terjadinya strok ke atas diri aku.

Menjadi masalah besar pada aku sekarang ialah tenungannya yang asyik-asyik memandang muka aku.

Wajahnya kelihatan seperti Che Guevera sekali imbas. Ada dua calit pewarna merah di bulu matanya — ataupun kesan khas gambar tersebut. Menyebabkan dia kelihatan seperti wajah penganut ajaran Marxisme itu [Che Guevera]. Gambar tersebut berwarna hitam putih, tertulis Madonna – American Life.

Di hujung pelekat yang berukuran 7 x 5cm itu terdapat tulisan kecil, memberitahu bahawa pelekat itu adalah hasil keluaran Warner Music dan Warner Bros seperti juga pengedaran CD-Cdnya dan kaset-kasetnya.

Madonna [di dalam gambar itu] tak jemu-jemu memandang aku. Aku berpendapat yang aku mungkin tidak dapat menahan nafsuku jika situasi sebenar di hadapan mata.

Dan pula pada ketika itu, dia [Madonna] disuruh membuat ketuk ketampi dengan tidak memakai sebarang pakaian menghadap ke arah aku.

Nyaris, itu cuma gambar. Dan gambar di sebelah kiri aku pasti akan melihat [jika matanya berfungsi seperti mata aku] apa yang aku lakukan.

Menaip artikel untuk tempat kerja aku, cuba menulis novel cinta [sampai aku nak muntah membacanya], teliti membina laman web dan banyak lagi aktiviti-aktiviti yang aku tak mahu sebut ketika ini, saat ini dan pada catatan ini.

CPU [entah untuk apa singkatan ini] aku terletak di sebelah kiri kerana tangan aku yang berfungsi cuma tangan kiriku. Sejak tangan kanan aku tidak berfungsi seperti biasa maka sejak itulah aku menaip menggunakan tangan kiri.

Mungkin kau boleh bayangkan bagaimana aku menaip dan di mana kedudukan CPU serta mouse [tetikus] aku.

CPU ini baru diganti dengan yang baru, monitornya masih yang lama lagi. Aku tak tahu sama ada hardware ini lebih baik dari yang lama atau tidak. Cuma yang aku tahu ianya lebih perlahan daripada yang lama.

Selalu ‘hang’ tetapi gambar yang terhasil adalah lebih cerah daripada yang lama.

19 December 2005

Pengkalan Pasir

Walaupun telah lama berlalu, pilihanraya Pengkalan Pasir mampu meninggalkan suatu kesan.

Bagaikan kesan itu negatif ataupun kesan positif. Rakyat di sana pasti akan mengalami sesuatu. Sesuatu yang paling berharga buat menjadi pengajaran di masa hadapan.

Aku pilu dengan keadaan di sana. Ataupun mungkin aku yang patut dipilukan mereka.

Biarkan sahaja. Ini hal orang-orang di sana. Mana mungkin aku merasai apa yang mereka rasa. Aku tak mampu.

Cuma aku sikit kasihan [merujuk kepada akhbar arus perdana, bukan akhbar pembangkang atau akhbar alternatif yang lain] apabila sebuah daerah yang tidak dipedulikan kini menjadi tempat tumpuan berkempen yang mana lebih Islam – UMNO atau PAS.

Yang mana mahu membangunkan rakyat sekelilingnya.

Daerah yang sebelum ini tidak dipedulikan oleh sesiapa seperti tiada makhluk yang menghuni tetapi selepas sahaja kematian ADUN dari PAS telah menjadi pusat tumpuan media – arus perdana atau akhbar alternatif.

Bagi kerajaan rakyat dari rakyat dan untuk rakyat, demokrasi tidaklah memberi peluang bagi mana-mana pihak untuk cuma merayakan pesta demokrasi lima tahun sekali [ataupun ada ADUN atau MP yang meninggal dunia atau bersara].

Namun tindakan oleh pihak-pihak parti politik – kerajaan ataupun pembangkang – ini memungkinkan demokrasi cuma berjalan sebagai adat atau konvensyen.

Sepatutnya perayaan demokrasi tidak disambut cuma lima tahun sekali atau ada ADUN atau MP yang meninggal dunia atau bersara tetapi lebih dari itu.

Demokrasi bukanlah seperti Idulfitri, Iduladha, Diwali, Kong Hee Fat Chai, Krismas atau hari lahir Guru Nanak, dirayakan selama beberapa tempoh sahaja. Sehari, dua hari, tiga hari atau sebulan.

Tetapi sepatutnya demokrasi perlu seiring dengan kehidupan.

13 December 2005

18?

Kira-kira dua tahun lepas, kenyataan PM benar-benar menggembirakan. Namun kenyataannya masih menjadi tanda tanya. Sehingga kini masih belum terjawab tentang mereka-mereka yang disebutkannya.

Situasi ini mewujudkan simbol ‘?’ di atas kepala aku [bukan sahaja aku tetapi hampir seluruh rakyat Malaysia]. Atau mungkin juga di dalam kepala aku.

Situasi ini membuatkan aku tertanya-tanya, adakah kenyataannya itu cuma gimik pilihanraya. Kempen di masa nazak oleh kerajaan.

Aku mengharapkan kerajaan dari rakyat untuk rakyat ini membuat sesuatu tentang perkara ini. Jangan sampai kenyataan itu tinggal kenyataan. Janji pilihanraya.
Sekali lagi aku yang kerdil ini meminta.